PENGENDALI Sabah FC Datuk Ong Kim Swee. -FOTO NSTP
PENGENDALI Sabah FC Datuk Ong Kim Swee. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Sabah FC tidak mahu kehilangan beberapa tonggak utama bukanlah alasan untuk pasukannya terlepas peluang meraih tiga mata pada pertemuan menentang Kelantan FC esok.

Beraksi di gelanggang 'berkecuali' iaitu Stadium UiTM, Shah Alam, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu barisan anak buahnya sentiasa berwaspada walaupun menentang barisan pemain muda Kelantan FC.

Beliau berkata, barisan anak buahnya boleh dikatakan agak keletihan ketika ini kerana melalui perlawanan agak panjang sekali gus memerlukan komitmen tinggi daripada semua pemain bagi mengelak terlepas peluang meraih tiga mata penting.

"Jika dilihat sekarang ini, kami kehilangan empat pemain kerana mereka mengharungi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

"Sebenarnya, bukan mudah untuk mengendalikan empat perlawanan dalam tempoh dua minggu dengan jadual yang banyak membabitkan saingan Liga Super dan Piala AFC.

"Sekarang ini, apa pun boleh berlaku walaupun menentang skuad muda Kelantan FC namun kami perlu berhati-hati," katanya.

Selain itu, Sabah FC ketika ini masih lagi meletakkan sasaran di kedudukan lima teratas sekali gus memerlukan meraih tiga mata penting pada setiap baki perlawanan Liga Super.

Berikutan itu, berbaki empat perlawanan bagi saingan Liga Super musim ini, Kim Swee tidak menafikan perubahan kedudukan bakal berlaku.

"Kedudukan berubah jika Sabah mampu dapat keputusan yang positif dalam empat perlawanan terakhir.

"Jika kita capai keputusan baik untuk perbaiki daripada sasaran lima terbaik, kita dapat tempat keempat atau ketiga, ia keputusan yang cukup positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 1:52 PM