STADIUM Nasional Bukit Jalil bersedia melayan kunjungan Kyrgyzstan. -FOTO NSTP
STADIUM Nasional Bukit Jalil bersedia melayan kunjungan Kyrgyzstan. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menganggap isu harga tiket mahal yang dimainkan oleh segelintir pihak bukanlah untuk menguji Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebaliknya ujian sejauh mana kesetiaan penyokong Harimau Malaya.

Katanya, dengan harga tiket serendah RM40 untuk menyaksikan perlawanan antarabangsa yang cukup penting, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada malam esok ia adalah harga yang sangat berbaloi buat penyokong.

"Sebenarnya isu harga tiket ini bukan menguji FAM tapi sebenarnya menguji penyokong-penyokong setia Harimau Malaya. Adakah sokongan mereka hanya dinyatakan di sosial media saja atau turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Inilah masanya untuk penyokong menyatakan sokongan mereka kepada Harimau Malaya yang berdepan misi cukup besar dalam Kelayakan Piala Dunia.

"Dalam setahun berapa kali saja kita datang ke stadium untuk menyokong Harimau Malaya, dan dalam situasi sekarang pemain amat memerlukan sokongan," katanya.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap FAM mampu memperkenalkan jualan tiket harga rahmah untuk perlawanan pembukaan Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bertemu Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pihaknya sentiasa memahami denyut nadi peminat bola sepak tempatan dan kini sedang menanti jawapan balas daripada FAM.

Selain itu, Pekan berkata, harga yang telah ditetapkan oleh FAM ini pasti sudah mengambil kira kos-kos penganjuran yang ditanggung terutama melibatkan penyewaan stadium yang tinggi serta persiapan pasukan.

Malah, langkah FAM untuk berkongsi hasil kutipan tiket dengan menyumbang kepada tabung Palestin dan tabung Kempen Selamatkan Harimau Malaya adalah sesuatu yang harus dipuji.

"Perlawanan kelayakan ini hanya berlangsung dalam tempoh beberapa tahun, jadi penyokong-penyokong gunalah kesempatan ini untuk menyemarakkan semangat pemain.

"Dalam RM40 itu, ada juga saham akhirat kita juga kerana menyumbang kepada tabung Palestin jadi tak perlu lah kita buat perbandingan dari segi harga.

"Bagi saya, tiket RM40 masih dianggap rendah dengan kos perbelanjaan operasi seperti sewa stadium, persiapan pasukan, logistik dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 2:02 PM