PENGURUS Manchester United, Erik ten Hag. FOTO Agensi
PENGURUS Manchester United, Erik ten Hag. FOTO Agensi
AFP

London: Wajah pengendali Manchester United, Erik ten Hag kembali tenang selepas melihat skuad kendaliannya menang 1-0 menumbangkan Luton dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, awal pagi tad.

Ia menyaksikan skuad The Red Devils kembali dilandasan kemenangan bagi menghadiahkan tiga mata maksimum sekali gus meredakan tekanan di kem United.

Sebelum aksi itu, Ten Hag nyata berada dalam situasi tertekan bagi memburu kemenangan selepas pasukannya tewas di tangan Copenhagen dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah pada Rabu lalu.

Malah, dalam 10 aksi di laman sendiri musim ini, rekod United cukup buruk apabila tumbang lima perlawanan di depan penyokong sendiri sekali gus dianggap permulaan terburuk dalam sejarah kelab itu sejak 1930.

"Ia hari yang baik. Kami memerlukan kemenangan dan memperolehinya, tetapi kami sepatutnya mengambil jalan lebih mudah dengan menjaringkan gol awal serta meledak gol kedua.

"Saya perlu memuji pasukan yang terus berusaha, kekal berdisiplin dan tidak memberikan ruang kepada lawan," kata Ten Hag.

Jaringan tunggal perlawanan disumbangkan Victor Lindelof di minit 59 selepas menerima hantaran lintang Marcus Rashford untuk dia muncul wira pasukan.

Hasil kemenangan itu, United turut mengakhiri tiga kekalahan dalam empat aksi sebelum ini untuk menghuni tangga keenam liga setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 8:49 AM