PAN-gon harap penyokong Harimau Malaya memahami pemilihan bukan hanya berdasarkan taktikal tetapi juga komitmen. FOTO Bernama
PAN-gon harap penyokong Harimau Malaya memahami pemilihan bukan hanya berdasarkan taktikal tetapi juga komitmen. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Kim Pan-gon mengharapkan peminat memberi sokongan penuh terhadap barisan pemain yang dipilih bagi latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula hari ini.

Jelas pengendali negara itu, beliau menghormati dan meraikan setiap pandangan peminat justeru Pan-gon mengharapkan perkara sama dengan menghormati pemilihan pemain yang dipanggilnya.

"Setiap kem kebangsaan, kami mahu memilih yang terbaik. Saya tahu penyokong mempunyai pandangan berbeza mengenai pemilihan pemain, tetapi kami harap semua orang faham kami hanya boleh pilih 23 pemain dan dua pemain untuk setiap posisi.

"Saya tahu ramai pemain bagus di luar sana. Setiap pemain boleh berada dalam senarai tetapi kami perlu membuat keputusan sukar sama ada untuk menempatkan pemain dalam senarai utama atau senarai bersedia.

"Saya harap penyokong memahaminya. Kami memilih bukan hanya sebab taktikal, tetapi kami juga melihat kepada komitmen, kesetiaan, patriotik dan sebagainya," katanya pada hari pertama kem latihan pusat di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Terdahulu, ramai pihak mengkritik pemilihan pemain terutamanya tonggak naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh.

Tonggak sayap itu yang sudah lama tidak beraksi dan kurang minit permainan di kelabnya dipanggil oleh Pan-gon menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula Khamis depan.

Pada aksi kelayakan Kumpulan D itu, Malaysia akan turun menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil Khamis depan, sebelum terbang ke Taiwan untuk perlawanan kedua lima hari kemudian.

Baki aksi berikutnya, skuad negara akan bertemu Oman pada Mac depan selepas berakhirnya Piala Asia di Qatar Januari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 8:38 PM