NORDE (kiri) menjaringkan gol kemenangan TFC ke atas Stallion Laguna. FOTO FB TERENGGANU FC
NORDE (kiri) menjaringkan gol kemenangan TFC ke atas Stallion Laguna. FOTO FB TERENGGANU FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Terengganu FC (TFC) berada di landasan tepat untuk melangkah ke pusingan berikutnya apabila mencatat kemenangan kedua dalam Kumpulan G Piala AFC selepas menumbangkan kelab Filipina, Stallion Laguna 3-2 di Stadium Bolasepak Binan, di Laguna, hari ini.

Kejayaan mengutip tiga mata penuh itu cukup bermakna terutama apabila terpaksa bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menghimpun lapan mata selepas mengharungi empat aksi setakat ini.

Episod dejavu seolah-olah menghantui skuad Penyu ketika aksi di Gong Badak sebelum ini apabila dikejutkan dengan dua gol awal Stallion Laguna.

Tuan rumah yang mengikat TFC 2-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebelum ini, mendahului menerusi Junior Ngong Sam dan Griffin McDaniel, masing-masing di minit ketiga dan ke-13.

Kedudukan itu nyata mengejutkan wakil negara itu yang dilihat agak tertekan untuk menyesuaikan diri beraksi di atas padang rumput tiruan.

Bagaimanapun, selepas setengah jam aksi berlangsung, anak didik Tomislav Steinbruckner mula menemui rentak dan berjaya merapatkan kedudukan di minit ke-33.

Gol itu berpunca daripada sepakan percuma Sony Norde yang kemudiannya menyaksikan ketua pasukan Stallion Laguna tertanduk ke gawang sendiri untuk menyemarakkan api kebangkitan pelawat.

Tekanan demi tekanan terus diberikan dan Norde berpeluang mencetak nama selaku penjaring, namun tandukannya terkena palang di minit ke-62 selepas menerima hantaran lambung Nik Sharif Haseefy.

Gol penyamaan menjelma di minit ke-67 menerusi tolakan mudah Ivan Mamut selepas Norde mengatasi pertahanan lawan di dalam kotak penalti.

Pelawat berpeluang berada di depan pada minit ke-84, namun percubaan pemain gantian Nor Hakim Hassan sedikit tersasar.

Akhirnya gol kemenangan muncul hasil usaha berterusan Norde apabila kelincahannya di minit ke-86 gagal dihalang pertahanan tuan rumah, sekali gus kedudukan 3-2 kekal hingga wisel penamat.

Selepas ini, TFC dijadual terbang ke Australia bagi menghadapi Central Coast Marines di Sydney pada 29 November ini, sebelum menamatkan kempen berdepan kelab Indonesia, Bali United di Gong Badak pada 13 Disember nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 6:23 PM