UBAIDULLAH (kanan) tekad kekang pemain Stallion.
UBAIDULLAH (kanan) tekad kekang pemain Stallion.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas cemerlang membantu Terengganu FC (TFC) menumpaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia Jumaat lalu, pemain pertahanan, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili mempunyai misi yang sama berdepan Stallion Laguna FC, petang esok.

Jelas pemain paling muda skuad Penyu berusia 20 tahun itu, dia tekad memastikan pemain kelab Filipina itu dapat 'dirantai' apabila kedua-dua pasukan bakal membuat perhitungan kedua Kumpulan G dalam saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Stadium Binan Football Laguna.

Bagaimanapun, dia sedar tugas berkenaan bukannya mudah lebih-lebih lagi rekod perlawanan pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak berakhir seri 2-2.

Pada perlawanan pusingan pertama, pemain yang lebih mesra dipanggil 'Ubai' itu bergandingan baik dengan Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni di posisi pertahanan tengah sepanjang 90 minit permainan.

"Alhamdulillah saya diberi kepercayaan untuk beraksi dalam kesebelasan utama ketika berdepan skuad The City Boys Jumaat lalu sebelum pasukan mara ke pentas final yang pertama saya sepanjang karier setakat ini.

"Sejujurnya semangat sama akan saya bawa berdepan kelab Filipina itu sekiranya sekali lagi diberi tanggungjawab memikul tugas berkenaan, harap kemenangan berpihak kepada kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 2:09 PM