MYONG-bo (kiri) bersama Kim Ji-Hyun ketika sidang media pra perlawanan  di Stadium Sultan Ibrahim. FOTO Rizar Mohd Noor.
MYONG-bo (kiri) bersama Kim Ji-Hyun ketika sidang media pra perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim. FOTO Rizar Mohd Noor.
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Pengendali Ulsan Hyundai, Hong Myung-bo enggan terlalu yakin sebaliknya bersikap berhati-hati apabila berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam esok.

Jelasnya, walaupun meraih kemenangan 3-1 ke atas JDT pada pertembungan 24 Oktober lalu, ia bukanlah jaminan untuk mengekalkan momentum itu, sebaliknya tetap berwaspada dengan kebangkitan skuad kendalian Esteban Solari.

Malah beliau juga menepis tanggapan tindakan merehatkan tiga bintang utama, kapten Jung Seung-hyun, Darijan Bojanic dan Gustav Ludwigson ketika aksi menentang Daegu 29 Oktober lalu kerana mahu memberi rehat kepada ketiga-tiga pemain untuk aksi menentang JDT.

"Tidak betul, saya merehatkan ketiga-tiga pemain itu berdasarkan prestasi ketika latihan untuk persiapan menentang Daegu dan tidak ada kena mengena unuk menentang JDT malah saya sudah merangka perancangan bagi aksi ACL.

"Namun, kita melakukan persiapan yang baik untuk pertarungan malam esok dan semua pemain akan mmberi sepenuh tumpuan bagi memastikan tiga mata tidak terlepas walaupun sedar akan berdepan JDT yang akan tampil dengan permainan berintensiti tinggi.

"Kita juga sedar JDT mempunyai kemudahan stadium yang baik serta penyokong fanatik dan ianya tidak akan memberi kesan kepada pasukan Ulsan untuk memenangi pertarungan esok," ujarnya dalam sesi sidang media.

Jurulatih berusia 54 tahun itu turut menambah keadaan cuaca di Malaysia yang tidak sama seperti di Korea juga bukan satu alasan untuk mereka beraksi dengan penuh berkeyakinan esok.

"Kita tidak boleh mengawal keadaan cuaca dan itu tidak menjadi satu isu mahupun tekanan buat pasukan kami," jelasnya.

Sementara itu, penyerang Ulsan Hyundai, Kim Ji-hyun menganggap pertembungan menentang JDT tidak akan memberi tekanan buat dirinya dan rakan sepasukan sebaliknya akan beraksi mengikut perancangan taktikal yang dibentuk ketua jurulatih.

"Mungkin ada yang kata akan akan beraksi dalam tekanan, tapi bagi saya semua pemain sudah biasa untuk berdepan tekanan dan kami tetap hormati JDT namun dalam pada masa sama kami mahukan kemenangan," kata Ji-hyun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 2:22 PM