PAN Gon turut mahukan aksi menentang Kyrgyzstan kekal berlangsung di Stadium Nasional. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
PAN Gon turut mahukan aksi menentang Kyrgyzstan kekal berlangsung di Stadium Nasional. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini secara rasmi mengesahkan bahawa perlawanan pertama Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, akan kekal dilangsungkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada jam 9.00 malam.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Noor Azman Rahman, aksi berkenaan membabitkan Harimau Malaya menentang Kyrgyzstan pada 16 November 2023 (Khamis).

"Ketetapan itu dibuat selepas sesi pemeriksaan dan penilaian keadaan terkini padang di stadium berkenaan Khamis lalu yang turut disertai oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac serta ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Noor Azman, pihak PSM menerusi pandangan dan nasihat daripada konsultan teknikal serta kontraktornya menyatakan bahawa padang berkenaan kini dalam keadaan yang lebih baik berbanding ketika Pestabola Merdeka bulan lalu dan sedia untuk digunakan pada 16 November depan.

"Selain itu, keputusan untuk kekal bermain di Stadium Nasional ini juga mengambil kira faktor-faktor sampingan lain terutama bagi memudahkan lebih ramai penyokong Harimau Malaya hadir memberikan sokongan.

"Malah, Pan Gon dalam kenyataan yang dikeluarkan beliau semalam turut mahukan aksi menentang Kyrgyzstan kekal berlangsung di Stadium Nasional," kata Noor Azman.

Tambahnya, dengan pengesahan terbaharu ini, segala persiapan menjelang perlawanan itu akan terus dipergiatkan bagi memastikan kelancarannya.

Selepas aksi bertemu Kyrgyzstan, skuad Harimau Malaya kendalian akan terbang ke Taipei City untuk perlawanan kedua Kumpulan D menentang Taiwan pada 21 November 2023.

Seterusnya Malaysia akan berdepan Oman di tempat lawan pada 21 Mac 2024 dan di tempat sendiri pada 26 Mac 2024.

Harimau Malaya akan bertemu Kyrgyzstan di tempat lawan pada 6 Jun 2024 dan menanti kunjungan Taiwan di laman sendiri pada 11 Jun 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 1:30 PM