Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Aksi serba tidak menjadi yang diperagakan pemain Terengganu FC (TFC) menjadi faktor utama skuad itu gagal mengutip mata penuh menentang kelab Filipina, Stallion Laguna FC pada aksi Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), petang semalam.

Hal ini diakui ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner yang jelas kecewa dengan persembahan anak buahnya biarpun beraksi di depan ribuan penyokong sendiri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Bagaimanapun faktor cuaca yang panas ketika awal permainan bermula pada jam 4 petang bermungkinan menjadi faktor anak buah jurulatih kelahiran Croatia itu 'lambat panas' sebelum kembali 'mengaum' pada babak kedua perlawanan.

Pada perlawanan yang berkesudahan 2-2 itu, skuad Penyu terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan seawal minit keenam oleh Griffin McDaniel dan Ngong Stephen pada minit ke-40 untuk mendahului 2-0.

Bagaimanapun pada penghujung babak pertama, TFC berjaya merapatkan kedudukan menerusi Sony Norde manakala gol penyamaan sekali lagi hadir pada penghujung babak kedua menerusi penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn.

"Saya tidak mahu menyembunyikan corak permainan anak buah pada petang ini (petang semalam), mereka tidak beraksi seperti biasa, banyak kesilapan teknikal termasuk kesalahan ketika membuat hantaran selain tanpa pergerakan yang cukup untuk mencipta gerakan bahaya.

"Tambah merisaukan saya ketika itu kesilapan yang dilakukan penjaga gol, Suhaimi Husin yang melepaskan gol pertama lawan seawal minit keenam, saya mahukan corak permainan lebih agresif pada awal, namun yang berlaku adalah sebaliknya," katanya.

Bagaimanapun ada juga nada gembira diluahkan bekas Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd musim lalu itu terutama selepas anak buahnya bangkit melawan tanpa mengenal erti putus asa sebelum berjaya meledak dua gol selepas ketinggalan dengan dua jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 1:53 PM
STEINBRUCKNER pada perlawanan Piala AFC 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. -FOTO Ghazali Kori
STEINBRUCKNER pada perlawanan Piala AFC 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. -FOTO Ghazali Kori