SKUAD kebangsaan Algeria tangguhkan semua aksi sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan Palestin. FOTO REUTERS
SKUAD kebangsaan Algeria tangguhkan semua aksi sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan Palestin. FOTO REUTERS
AFP

Algiers: Persekutuan Bola Sepak Algeria (FAF) mengumumkan untuk menangguhkan semua perlawanan 'sehingga diberitahu kelak' bagi menyokong perjuangan Palestin.

"Menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin dan sebagai mengingati para syuhada mulia yang menjadi mangsa pencerobohan pengganas Zionis di Semenanjung Gaza terhadap penduduk Palestin, FAF telah memutuskan untuk menangguhkan semua pertandingan dan perlawanan sehingga diberitahu kelak," kata persekutuan itu dalam satu kenyataan.

Keputusan itu susulan serangan roket ke hospital di Gaza yang menurut kumpulan Islam Hamas membunuh ratusan orang.

Hamas telah menyalahkan Israel atas serangan itu, yang turut disokong oleh kerajaan beberapa negara Arab dan Islam.

Tetapi Israel mengemukakan apa yang dikatakan sebagai bukti bahawa letupan itu datang daripada roket Jihad Islam Palestin yang tidak berfungsi.

Sebagai penyokong tegar perjuangan Palestin, Algeria mengumumkan pada Ahad lalu bahawa mereka bersedia menjadi tuan rumah untuk semua perlawanan rasmi dan tidak rasmi pasukan bola sepak kebangsaan Palestin.

Ia sebagai sebahagian daripada persiapan untuk kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 serta menampung semua perbelanjaan berkaitan dengannya.

Akibat konflik terbaru itu, perlawanan kelayakan Piala Dunia antara pasukan Palestin dan Australia pada 21 November ini akan berlangsung di bumi Algeria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 8:33 AM