STADIUM Nasional Bukit Jalil. FOTO Agensi
STADIUM Nasional Bukit Jalil. FOTO Agensi
Syazwan Msarmohd


Kuala Lumpur: Wang bukanlah segala-galanya buat Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) apabila meletakkan acara sukan dan aksi Harimau Malaya sebagai keutamaan untuk menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Hal ini dijelaskan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSM, Mohd Faidz Sanusi menerusi pertemuan empat mata bersama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan memberi gambaran jelas mengenai keperluan Harimau Malaya untuk terus menjadikan venue berkenaan sebagai gelanggang rasmi.

"Soal penjadualan menjadi sebahagian daripada perkara yang kita bincangkan dalam perbincangan dengan FAM baru-baru ini. Jadi kita tidak akan ada lagi pertindihan selepas ini.

"Memang aspek komersial juga sedikit sebanyak beri pendapatan kepada kita kerana kita tidak boleh terlalu mengharapkan 100 peratus daripada kerajaan. Keutamaan PSM selalunya adalah sukan iaitu babitkan tiga pemegang taruh utama.

"(Pertamanya) persatuan sukan diikuti komuniti dan selepas itu baharulah komersial," katanya.

Sebelum ini, FAM yang diketuai presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi berbincang sendiri dengan PSM bagi menyusun jadual penggunaan stadium berkenaan pada baki 2023 ini dan sepanjang 2024.

Mengikut rekod, selain Pestabola Merdeka Harimau Malaya juga memiliki tugasan antarabangsa di Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 malah saingan domestik iaitu final Piala Malaysia awal Disember ini juga dijangka akan dilangsungkan di venue berkenaan.

Sebelum ini, 'perebutan' Stadium Nasional Bukit Jalil sentiasa jadi bahan kritikan peminat bola sepak temaptan apabila PSM tuut menerima tempatan bagi konsert artis antarabangsa.

Pada aksi separuh akhir Piala AFF sebelum ini, konsert penyanyi Taiwan, Jay Chou pernah mencetuskan rasa tidak puas hati di kalanganpenyokong Harimau Malaya kerana acara berkenaan menyebabkan kehilangan 21,000 tempat duduk di venue itu kerana dihalang struktur pentas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 2:59 PM