PESTABOLA Merdeka akan bermula 13 Oktober ini. FOTO FB PESTABOLA MERDEKA
PESTABOLA Merdeka akan bermula 13 Oktober ini. FOTO FB PESTABOLA MERDEKA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bahang kehangatan Pestabola Merdeka semakin dirasai menerusi penganjuran Karnival Uniti yang dijangka menarik ribuan peminat bola sepak tempatan.

Menerusi karnival terbabit, pelbagai aktiviti menarik sudah dirancang sepanjang karnival yang bermula pada 13 Oktober hingga 15 Oktober bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selain gerai jualan dan pameran bermula daripada hari pertama kejohanan Pestabola Merdeka yang bakal menemukan pasukan Malaysia menentang India, terdapat empat acara utama karnival untuk semua peminat bola sepak.

Pengarah Karnival Uniti Pestabola Merdeka, Ahmad Suffian Mamat memaklumkan bahawa acara ini disokong oleh Kementerian Perpaduan Negara dengan moto Bolasepak Menyatukan Kita.

"Kami juga jangkakan seramai 100 ribu pengunjung dari seluruh negara bakal datang memeriahkan karnival disamping menyertai pelbagai aktiviti yang telah dirangka.

"Penyertaan untuk pelbagai aktiviti masih dibuka dan mereka yang berminat boleh menghubungi kami untuk pendaftaran dan sebarang maklumat lanjut", katanya.

Selain itu, beliau berkata, karnival terbabit adalah anjuran bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Perpaduan Negara selain turut mendapat sokongan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Dua acara awal sudah diadakan bagi mempromosikan kehangatan Pestabola Merdeka Kuala Lumpur 2023 iaitu perlawanan bola sepak kategori kanak-kanak dan perlawanan amal bersama lagenda bola sepak negara serta selebriti di Stadium Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Sepanjang karnival ini berlangsung, orang ramai turut berpeluang menyertai aktiviti 'Stadium Tour' dan bergambar kenangan bersama Piala Pestabola Merdeka yang akan dipertontonkan kepada pelawat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 9:23 PM