PEMAIN Negeri Sembilan, Anselmo  Da Silva (kanan) diasak pemain Perak di Stadium Tuanku Abdul Rahman. FOTO Azrul Edham
PEMAIN Negeri Sembilan, Anselmo Da Silva (kanan) diasak pemain Perak di Stadium Tuanku Abdul Rahman. FOTO Azrul Edham
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Negeri Sembilan FC (NSFC) dikhabarkan pasukan terbaharu yang mengalami tunggakan gaji sejak dua bulan lalu babitkan pembayaran bagi bulan Ogos dan September.

Perkara itu dikongsikan sumber terdekat kelab terbabit yang mengakui prestasi merudum NSFC ketika ini disebabkan oleh kelewatan pembayaran gaji.

Katanya, kekalahan 1-0 di tangan Perak FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, di Paroi antara protes yang dibuat pemain ke atas pihak pengurusan.

"Memang pasukan tak dapat gaji. Kelewatan gaji ini sejak bulan Ogos dan September. Gaji akan dibayar biasanya tarikh akhir pada setiap 7 haribulan, jadi kalau Sabtu ini kalau masih tak dapat, dah jadi dua bulan," kata sumber.

Jelasnya lagi, beberapa pemain kini mengalami kesempitan kerana mula dikejar pihak bank yang menuntut bayaran bulanan rumah dan kereta.

"Dah tentu bila jadi macam ini, pemain akan susah. Nak datang latihan pun tak ada duit, belum lagi bank tanya pasal bayaran rumah dan kereta.

"Macam mana pemain nak main kalau isu luar padang mengganggu mereka. Sebab itu prestasi pasukan juga merosot sekarang ini," katanya.

Ketika ini, NSFC berada di tangga kesembilan liga dengan mengumpul 21 mata selepas mengharungi 22 perlawanan.

Kali terakhir skuad Hobin Jang Hobin menikmati kemenangan adalah pada 18 Mei lalu apabila menang 2-1 ke atas PDRM FC.

Selepas itu, anak buah K Devan tumbang enam aksi dalam 11 perlawanan termasuk kekalahan mengejut kepada pasukan bermasalah, Kelantan FC dan terbaharu tumbang dengan Perak FC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 5:47 PM