ARGZIM (dua dari kanan) berdoa sebelum perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor FC di Stadium MBPJ, Ahad lalu. FOTO FB TERENGGANU FC
ARGZIM (dua dari kanan) berdoa sebelum perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor FC di Stadium MBPJ, Ahad lalu. FOTO FB TERENGGANU FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya mungkin lebih banyak pilihan di bahagian pertahanan apabila tonggak Terengganu FC (TFC), Argzim Redzovic dalam peringkat akhir untuk menyelesaikan proses naturalisasinya apabila hanya menunggu 'lampu hijau' dari Putrajaya.

Pemain berasal dari Montenegro itu berkata, perbincangan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) giat dilakukan, sekali gus mengharapkan permohonannya untuk menjadi warganegara Malaysia tidak berhadapan masalah.

"Proses naturalisasi saya masih tertangguh dan kita sedang menunggu keputusan dari Putrajaya selain Terengganu terus berbincang dengan KDN.

"Kalau ada rezeki tahun depan berjaya, ia adalah satu berita baik untuk Terengganu dan saya sendiri. Jadi, saya harap satu hari nanti selepas penantian selama tujuh tahun akan membuahkan hasil," katanya.

Sepanjang kariernya, Argzim sudah mewakili 11 kelab termasuk hampir enam tahun beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) apabila menyarung jersi PDRM FC pada 2018 sehingga 2019 sebelum berkelana ke Terengganu sehingga kini.

Pemain terbabit sudah memenuhi syarat kelayakan untuk 'dinaturalisasikan' apabila sudah beraksi dalam kancah Liga M untuk tempoh lima tahun berturut-turut.

Mengikut rekod, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah menghentikan program naturalisasi pemain bola sepak profesional bagi memberi peluang kepada pemain tempatan membarisi skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, FAM tidak sesekali menghalang kelab atau negeri untuk meneruskan program naturalisasi.

Jika Argzim berjaya bergelar pemain naturalisasi, sudah pastinya memberi nilai tambah kepada skuad Harimau Malaya dalam pemilihan pemain di bahagian pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 8:16 PM