STADIUM Allianz Parque venue kelab Palmeiras di Sao Paulo, Brazil.
STADIUM Allianz Parque venue kelab Palmeiras di Sao Paulo, Brazil.
Reuters

Sao Paulo: Teknologi imbasan wajah digunakan pada tiket perlawanan oleh kelab Palmeiras membantu Sekretariat Keselamatan Awam Sao Paulo (SSP) menahan 28 penjenayah dalam empat perlawanan di Stadium Allianz Parque, menurut jurucakap badan kerajaan itu hari ini.

Sistem biometrik wajah itu dilaksanakan tahun ini oleh kelab Brazil terbabit menerusi program 'Muralha Paulista' bagi memastikan penyokong yang membeli tiket dari Palmeiras adalah orang yang sama memasuki stadium.

Namun ia juga membantu SSP menangkap penjenayah sebelum mereka memasuki stadium untuk menyaksikan perlawanan. Malah teknologi itu juga membantu mengenal pasti 253 orang hilang.

"Kami melabur bagi melaksanakan teknologi pengenalan wajah bagi melindungi aset terbesar kami iaitu penyokong Palmeiras," kata presiden kelab Leila Pereira dalam satu kenyataan.

"Kami mahu venue kami sentiasa selamat untuk semua keluarga yang hadir dan kami bangga dapat menyumbang sesuatu kepada pihak berkuasa keselamatan awam."

Teknologi imbasan wajah sebelum perlawanan membolehkan mengesan penyokong membeli tiket daripada ulat tiket, penggunaan dokumen palsu, mereka yang dikenakan waran tangkap, melanggar arahan mahkamah atau perintah berkurung.

Selepas sasaran dikenal pasti, laluan masuk ke stadium ditutup dan polis dibenarkan campur tangan.

Selain 28 yang ditangkap, 42 orang ditahan dan tidak dibenarkan masuk ke stadium selepas gagal mematuhi arahan mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 10:12 AM