Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus memperhebatkan permainan futsal apabila menganjurkan Kejohanan Futsal Liga Sukan Uniti (FLSU) 2023 dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bersempena sambutan Hari Malaysia ke-60.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, iniisatif itu sebahagian daripada program Liga Sukan Uniti anjuran KPN yang turut membabitkan tiga sukan lain iaitu badminton, bola keranjang dan bola jaring.
Bagi sukan futsal, FAM dipertanggungjawabkan untuk pengelolaan kejohanan FLSU 2023 yang mana FAM bekerjasama dengan ahli-ahli gabungannya bagi penganjuran di setiap negeri masing-masing.
"Kejohanan FLSU 2023 bagi peringkat negeri di Pulau Pinang, Pahang, Kelantan, Johor dan Sabah sudah pun berlangsung pada 16 September lalu.
"Ia bakal disusuli saingan di Kedah dan Labuan pada 23 September ini, Kuala Lumpur/Putrajaya pada 24 September, seterusnya Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Sarawak pada 30 September serta Perlis pada 1 Oktober dan Melaka pada 7 Oktober 2023.
"Setiap negeri yang menjadi penganjur FLSU 2023 itu diberikan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk mengelolakan kejohanan ini," katanya.
Juara bagi setiap saingan peringkat negeri ini seterusnya layak beraksi di kejohanan FLSU 2023 peringkat kebangsaan yang dijadual berlangsung pada November depan.
Penganjuran FLSU 2023 adalah bertujuan untuk menyatupadukan rakyat Malaysia menerusi sukan yang mana bagi setiap pasukan bertanding, mereka diwajibkan menyenaraikan sekurang-kurangnya dua orang pemain berbangsa lain dalam senarai lapan pemain yang didaftarkan.