SRI Pahang memiliki kelebihan satu gol ke atas KL City. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
SRI Pahang memiliki kelebihan satu gol ke atas KL City. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengharapkan perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC Ahad ini, tidak berlanjutan ke masa tambahan.

Legenda bola sepak Singapura itu berkata, beliau mahu perlawanan itu ditamatkan dalam tempoh 90 minit.

"Jika boleh saya mahu menamatkan perlawanan dalam tempoh 90 minit perlawanan dan memastikan Sri Pahang mara ke separuh akhir.

"Dengan kelebihan satu gol yang dimiliki KL City, Sri Pahang perlu bekerja keras untuk memastikan kemenangan.

"Kelebihan di halaman sendiri akan dimanfaatkan sepenuhnya," kata Fandi yang juga bekas pemain Pahang. Pada perlawanan kelmarin, skuad The City Boys membawa bekalan tipis selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Sri Pahang pada perlawanan suku akhir pertama.

Gol KL City dijaringkan Romel Morales menerusi sepakan penalti selepas pertahanan Sri Pahang Syazwan Andik yang mengasari Paulo Josue pada minit ke-72.

Walaupun KL City memiliki kelebihan satu gol, Fandi berkata, peluang skuad Tok Gajah untuk melangkah ke separuh akhir piala berprestij itu masih lagi terbuka.

"Fokus utama pada perlawanan kedua nanti ialah berusaha menjaringkan gol awal untuk menyamakan kedudukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 3:25 PM