ONG Kim Swee. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
ONG Kim Swee. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Sabah FC perlu menggunakan peluang beraksi di tempat sendiri untuk meraih keputusan positif pada pertemuan menentang Perak FC dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Likas, Jumaat ini.

Walaupun, pasukan bakal turun tanpa kelibat tonggak utama seperti seperti Stuart, Darren Lok, Daniel Tinga dan Dominic Tan namun bukan alasan untuk skuad The Rhinos mencatatkan kemenangan ke atas Perak FC.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, Sabah FC perlu berhati-hati berikutan Perak FC pernah mengejutkan pasukan gergasi seperti Kedah sekali gus menuntut komitmen para pemain lebih fokus untuk mencatat kemenangan.

Katanya pemain tidak boleh mengambil mudah atau selesa ketika beraksi laman sendiri kerana sudah pastinya pasukan lawan mahu mendapatkan bekalan mencukupi untuk dibawa pada aksi timbal balas di Stadium Perak, Ipoh, kelak.

Mengulas ketiadaan empat tonggak utama ini Kim Swee berkata, setakat ini tidak banyak perbezaan berikutan pemain telah melalui proses latihan daripada awal tahun sehingga hampir penghujung tahun.

"Kita mempunyai percaturan penting Jumaat ini dengan meletakkan beberapa pemain lain yang telah lama tidak diturunkan.

"Mereka akan mengalas tugas penting. Apa yang penting mereka perlu bermain secara 'team work' sekali gus menunjukkan komitmen tinggi dalam perlawanan ini nanti.

"Jadinya, persiapan dan taktikal saya tidak nampak kita akan mempunyai banyak masalah walaupun dengan ketiadaan beberapa pemain lain kerana bersama pasukan kebangsaan.

"Apa yang penting beberapa pemain yang menyertai latihan bersama pasukan kebangsaan dapat mengekalkan kecergasan mereka kerana selepas ini ada beberapa perlawanan yang penting termasuk AFC (Konfederasi Bolasepak Asia)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 4:21 PM