LAINE tiada masalah untuk dapatkan keserasian bersama skuad negara. -FOTO FAM
LAINE tiada masalah untuk dapatkan keserasian bersama skuad negara. -FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: pemain kacukan yang beraksi di Liga Finland, Noaa Laine menjelaskan dia tidak berhadapan masalah untuk mendapatkan keserasian bersama pasukan walaupun baru saja tiga hari menyertai skuad muda negara itu.

Katanya, walaupun mengharungi perjalanan yang panjang untuk menyertai perlawanan kumpulan H kelayakan Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) 2024 namun semangatnya tidak pernah luntur untuk membantu pasukan negara meraih keputusan positif.

"Sudah pastinya saya mengharungi perjalanan yang panjang untuk ke sini namun setakat ini, sesi latihan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

"Tiga hari bersama pasukan saya rasa cukup untuk membentuk keserasian dan mengharapkan pasukan negara mampu ke peringkat seterusnya.

"Saya akan lakukan terbaik untuk pastikan pasukan negara menang pada baki perlawanan kumpulan H kelayakan Piala Asia B-23 ini," katanya.

Beraksi di posisi pemain tengah menyerang, kehadiran Nooa pastinya menjadi senjata buat pengendali skuad B-23 negara E Elavarasan bagi mencapai kemenangan menentang Filipina.

Skuad muda negara akan beraksi menentang Filipina hari ini(online esok) sebelum bertemu tuan rumah Thailand pada 12 September.

Mengikut rekod, sebanyak 11 pasukan juara kumpulan dalam saingan kelayakan (Kumpulan A hingga K) bersama-sama empat pasukan tempat kedua kumpulan terbaik dan tuan rumah, Qatar akan layak beraksi di Piala Asia B-23 2024 di Qatar, tahun depan.

Ketika ini, skuad B-23 negara sudah mengutip tiga mata hasil daripada kemenangan 2-0 menentang Bangladesh pada Rabu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 1:53 PM