HENDERSON (kiri) kini beraksi bersama Al-Ettifaq. FOTO FB Al-Ettifaq
HENDERSON (kiri) kini beraksi bersama Al-Ettifaq. FOTO FB Al-Ettifaq
Agensi

London: Jordan Henderson memohon maaf kerana 'menyakitkan' komuniti golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) selepas perpindahan kontroversinya ke Arab Saudi.

Bekas kapten Liverpool itu kini bergabung semula dengan bekas rakan sepasukannya, Steven Gerrard di Al-Ettifaq.

Dia berdepan reaksi negatif susulan perpindahan ke Arab Saudi yang melarang keras aktiviti LGBT di mana mereka yang terbabit dengan aktiviti itu boleh dikenakan hukuman mati.

Henderson, yang dilaporkan memperoleh pendapatan £700,000 seminggu (RM4 juta) di Saudi, adalah penyokong kuat kempen Rainbow Laces Liga Perdana.

"Saya fikir akan sentiasa ada kritikan tanpa mengira apa yang saya lakukan, sama ada saya kekal atau sama ada meninggalkan Liverpool.

"Jadi pada asasnya saya perlu membuat keputusan mengenai apa yang terbaik untuk saya dan keluarga saya.

"Kepada komuniti LGBT, saya dapat memahami kekecewaan mereka. Saya boleh memahami kemarahannya mereka.

"Apa yang boleh saya katakan ialah saya minta maaf kerana mereka berasa tidak selesa. Saya tidak pernah berniat untuk menyakiti sesiapa pun," katanya kepada The Athletic.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 7:37 PM