GUARDIOLA (kiri) kecewa apabila Arsenal menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-11 masa tambahan pada aksi Perisai Komuniti, semalam. FOTO REUTERS
GUARDIOLA (kiri) kecewa apabila Arsenal menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-11 masa tambahan pada aksi Perisai Komuniti, semalam. FOTO REUTERS
Reuters

Manchester: Peraturan baharu diperkenalkan bola sepak Inggeris untuk mengelak pembaziran masa akan menambah beban pemain ketika jadual perlawanan semakin padat.

Pemain pertahanan Manchester United, Raphael Varane berkata demikian ketika mengecam pihak berkuasa yang tidak mempedulikan pendapat pemain.

Menerusi peraturan baharu, pengadil akan menambah masa dengan jumlah sebenar yang digunakan bagi meraikan gol, kemasukan pemain gantian dan kecederaan pemain pada masa tambahan.

Pada musim sebelum ini, polisi itu adalah untuk menjimatkan masa.

Sebanyak lapan minit ditambah pada hujung babak kedua perlawanan Perisai Komuniti ketika Arsenal menewaskan Manchester City menerusi penentuan sepakan penalti, malam tadi, manakala masa tambahan beberapa perlawanan Liga Kejuaraan sebelum ini mencecah 10 minit atau lebih.

"Daripada pengurus dan pemain, kami berkongsi kebimbangan sama sejak beberapa tahun lalu mengenai terlalu banyak perlawanan, jadual yang padat serta tahap bahaya bagi fizikal dan mental pemain," kata Varane menerusi media sosial X, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

"Di sebalik maklum balas kami sebelum ini, mereka sudah melaksanakannya untuk musim depan iaitu perlawanan yang lebih panjang, lebih intensiti dan kurang emosi ditunjukkan oleh pemain.

"Kami hanya mahu berada dalam keadaan terbaik di padang untuk memberikan 100 peratus kepada kelab dan penyokong. Tetapi, kenapa pendapat kami tidak didengar?"

Pengurus City, Pep Guardiola turut mengkritik dan kecewa apabila juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dibolosi gol penyamaan Arsenal pada minit ke-11 masa tambahan.

"Apa saja pendapat mereka, kami perlu terima. Kini, perlawanan akan berlangsung selama 100 minit dan lebih, itu sudah pasti," kata Guardiola.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 10:03 PM