Alexander-Arnold (kiri)
Alexander-Arnold (kiri)
AFP

Newcastle, United Kingdom: Trent Alexander-Arnold memuji persembahan Liverpool yang bangkit daripada ketinggalan 0-1 untuk menang 2-1 di Newcastle biarpun beraksi dengan 10 pemain.

Dia turut menyifatkan ia sebagai salah satu kemenangan terbaik The Reds di bawah kendalian Jurgen Klopp.

Alexander-Arnold bernasib baik kerana terlepas kad merah selepas enam minit beraksi sebelum kesilapannya membolehkan Anthony Gordon membuka jaringan untuk Newcastle.

Namun Virgil van Dijk kemudiannya dibuang padang setengah jam selepas perlawanan kerana mengasari Alexander Isak.

Magpies bagaimanapun gagal menggunakan kelebihan itu yang akhirnya dihukum apabila Darwin Nunez yang dimasukkan dari bangku simpanan meledakkan dua gol sembilan minit terakhir.

"Kami terpaksa melakukannya dengan cara yang sangat sukar. Tetapi kami semua berusaha mencari jalan untuk mencapai sesuatu," kata Alexander-Arnold.

"Ini adalah salah satu persembahan terbaik kami sejak Klopp mengambil alih sebagai pengurus dan kami mempunyai beberapa aksi cemerlang sebagai satu pasukan.

"Kami akan mengingat kembali permainan ini sebagai sesuatu yang sangat, sangat istimewa."

Nunez bergelut mencapai tahap prestasi seperti nilai harga £85 juta (RM496.41 juta) sejak menyertai Benfica lebih setahun lalu.

Pemain Uruguay itu masih belum memulakan perlawanan musim ini, tetapi menunjukkan apa yang dia mampu dengan rentaknya mampu mengacau-bilau pertahanan Newcastle dan dua penyudah yang sempurna.

"Selepas kami memasukkan seorang pemain perlawanan bertukar menjadi sangat baik," kata Nunez.

"Kami bekerja keras untuk detik-detik ini dan saya gembira dapat menjaringkan dua gol untuk membantu pasukan."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 7:40 AM