Zuki yang juga bekas pegawai media TRW termasuk musim treble 2012. FOTO ihsan pembaca
Zuki yang juga bekas pegawai media TRW termasuk musim treble 2012. FOTO ihsan pembaca
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Bekas pengurusan dan peminat pasukan Kelantan FC senada melihat pasukan itu kini di ambang malapetaka selepas prestasi buruk dicapai pasukan sepanjang musim ini.

Merekodkan 106 gol bolos di semua pertandingan musim ini bagi saingan Piala FA dan Piala Malaysia, The Red Warriors turut memecah rekod bolos 87 gol di Liga Super.

Lebih memeritkan, pasukan yang dahulunya digeruni arena bola sepak negara kini turut menjadi lubuk belasahan lawan yang mudah menjinakkan mereka dengan jaringan besar sehingga 11 gol.

Pengerusi The Red Warriors City Club, Mohd Zuki Deraman berkata, kemelut menghantui Kelantan sudah menghampiri kemuncak apabila turut tewas teruk di stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu yang sebelum ini dilaungkan sebagai stadium keramat TRW.

Katanya, penyokong sedar dan menerima tahap pemain yang ada (dibarisi ubi muda), namun apabila deretan kekalahan dengan jaringan yang besar dan tidak munasabah, penyokong berhak untuk menunjukkan ketidakpuasan hati mereka.

"Isu gaji tidak dibayar, gaji tertunggak, sekatan transfer ban daripada Fifa ,sebenarnya semua berpunca daripada pengurusan, lebih tepat lagi daripada Zamsaham (Norizam Tukiman).

"Betul, kelab ini milik beliau, namun harus diingat, selagi bertapak di Kelantan dan menggunakan nama TRW, maka penyokong adalah dari Kelantan walaupun bukan pemegang saham kelab (share holder) tapi penyokong adalah stakeholder, tanpa sokongan dan kehadiran penyokong, kelab akan gagal dan liga pun tidak akan berkembang," katanya ketika dihubungi.

Mohd Zuki yang juga bekas pegawai media yang menjaga TRW termasuk era kegemilangan treble 2012 berkata, penyokong tidak menidakkan jasa Zamsaham yang dianggap penyelamat TRW namun pengurusan pasukan di bawah ahli perniagaan itu dilihat terlalu lemah.

Katanya, penyokong adalah entiti penting dalam mempengaruhi citra, populariti dan pendapatan pasukan atau industri bola sepak secara keseluruhan.

Tindakan melaungkan kata-kata, formasi emoji marah dan sedih, membakar suar dan kemerosotan kehadiran ke stadium adalah isyarat jelas yang menunjukkan kekecewaan peminat terhadap skuad kijang merah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 5:36 PM