AIDIL Sharin berkata, anak buahnya memberikan respons yang sangat baik sepanjang perlawanan malam tadi. FOTO MOHD ADAM ARININ
AIDIL Sharin berkata, anak buahnya memberikan respons yang sangat baik sepanjang perlawanan malam tadi. FOTO MOHD ADAM ARININ
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Meskipun gagal ke suku akhir Piala Malaysia 2023, kejayaan Kuching City FC mengikat Sang Badak dalam aksi kedua pusingan 16 di Stadium Likas, malam tadi sudah cukup memuaskan hati pengendali baharunya.

Ketua Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak, turut memuji persembahan anak buahnya yang bekerja keras mencari gol penyamaan selepas gawang mereka dibolosi Sabah FC pada minit ke-26.

Katanya, walaupun perancangan pasukannya untuk tidak dibolosi awal gagal, namun keupayaan anak buahnya menyamakan kedudukan pada minit ke-57 untuk mengikat Sabah 1-1 sudah cukup baik.

"Persembahan pemain saya sangat baik malam ini, mereka mengikut perancangan perlawanan dan bekerja dengan keras. Hasilnya, kita dapat mengawal dengan baik permainan pada babak pertama.

"Sudah pasti perancangan kita tidak mahu dibolosi tetapi kita dibolosi Sabah FC melalui situasi bola mati. Namun, apa yang penting kita dapat menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Dalam aksi malam tadi, Sabah berjaya menjaringkan gol melalui Rizal Ghazali pada minit ke-26, sebelum dapat disamakan pemain Kuching City, Rames Lai pada minit ke-57, sekali gus menjadikan kedudukan terikat 1-1 hingga tamat perlawanan.

Aidil berkata, anak buahnya memberikan respons yang sangat baik sepanjang perlawanan malam tadi dan berharap persembahan yang positif itu dapat dikekalkan dalam perlawanan Liga Super.

"Respon pemain sangat baik, mereka begitu positif dalam permainan malam ini dan saya berharap mereka konsisten dalam perlawanan yang seterusnya," katanya.

Walaupun berjaya mengikat Sang Badak 1-1 malam tadi, Kuching City gagal memintas Sabah FC untuk merebut tempat ke suku akhir Piala Malaysia kerana ketinggalan dengan agregat 4-1 selepas kalah 3-0 dalam aksi pertama pusingan 16 di Stadium Negeri, Kuching pada 5 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 3:21 PM