PEMAIN TFC menjalani latihan sebelum berdepan KL Rovers FC. FOTO Ghazali Kori
PEMAIN TFC menjalani latihan sebelum berdepan KL Rovers FC. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner bakal melakukan rombakan berdepan Kuala Lumpur Rovers FC (KL Rovers) pada aksi kedua pusingan 16 saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok.

Jelas jurulatih kelahiran Croatia itu, beliau mahu memberikan peluang kepada pemain kurang minit perlawanan bagi memastikan mereka juga sentiasa bersedia dan mampu memberikan impak positif buat pasukan.

Bagaimanapun, misi kemenangan tetap menjadi keutamaan pasukannya biarpun bagaikan sudah berada sebelah kaki ke peringkat suku akhir susulan kemenangan 4-0 pada aksi pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebelum ini.

"Kami harapkan penglibatan maksimum daripada setiap pemain yang diturunkan pada perlawanan itu dalam meneruskan siri keputusan positif untuk melangkah ke suku akhir.

"Setiap keputusan yang baik sudah pasti akan meningkatkan lagi keyakinan pasukan serta keupayaan individu pemain, jadi saya akan memberi peluang kepada beberapa pemain yang kurang bermain setakat ini.

"Bagaimanapun saya ingatkan kepada pemain agar waspada kerana juara Liga M3 itu sudah pasti mahu melakukan kejutan, jadi pemain perlu elak daripada menjadi mangsa 'amukan' pasukan lawan," katanya.

Ketika ditanya ketiadaan kapten, Habib Haroon yang mengalami kecederaan hamstring, bekas Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd musim lalu itu tidak begitu risau sebaliknya tenang.

"Bukan Habib seorang sahaja yang diketepikan, malah penyerang Adisak Kraisorn juga sudah pasti tidak dapat diturunkan kerana berdepan kecederaan, begitu juga dengan beberapa lagi pemain yang mengalami kecederaan ringan.

"Namun saya lega kerana semua bebas daripada sebarang penggantungan selain saya sudah ada bayangan pemain yang akan disenaraikan dalam perlawanan itu," jelas jurulatih yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 1:29 PM