GABRIELA meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di bahagian leher. FOTO Agensi
GABRIELA meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di bahagian leher. FOTO Agensi
AFP

Sao Paulo: Seorang wanita berusia 23 tahun, Gabriela Anelli meninggal dunia selepas botol kaca memutuskan urat lehernya dalam pergaduhan antara peminat dua kelab bola sepak Brazil di Sao Paulo hujung minggu lalu.

Abangnya, Felipe mengumumkan kematian berkenaan di Instagram dan mengucapkan terima kasih atas doa mereka sejak mangsa dimasukkan ke hospital Ahad lalu selepas cedera dalam pergaduhan antara penyokong kelab kegemarannya, Palmeiras, dan pelawat, Flamengo.

Menurut polis pergaduhan itu berlaku di luar Stadium Allianz Parque gelanggang kedua-dua pasukan beraksi.

Gabriela berada berhampiran zon peminat di mana penyokong Palmeiras sedang makan dan minum sebelum penyokong Flamengo mula membaling batu dan botol kaca ke arah mereka, jelas pegawai polis yang pakar dalam jenayah berkaitan sukan, Cesar Saad, .

Dia terkena balingan botol dan urat lehernya terpotong, kata Saad kepada saluran YouTube, Canal do Benja, sambil menambah bahawa penyokong Flamengo yang membaling botol itu sudah ditangkap dan mengaku bersalah.

Dalam satu kenyataan, kelab Palmeiras menggelar serangan itu sebagai tindakan tidak bertamadun.

Semburan lada yang digunakan polis untuk memisahkan penyokong yang bergaduh dan menyebabkan perlawanan dihentikan dua kali.

Aksi berkenaan berkesudahan dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 8:51 AM