NASSER Al-Khelaifi beri amaran kepada Mbappe untuk segera membuat keputusan. -FOTO Reuters
NASSER Al-Khelaifi beri amaran kepada Mbappe untuk segera membuat keputusan. -FOTO Reuters
Agensi

Paris: Enam pemain Paris Saint-Germain dilaporkan membuat aduan kepada Presiden kelab, Nasser Al-Khelaifi mengenai komen yang diberikan Kylian Mbappe minggu ini.

Temu bual Mbappe baru-baru ini menimbulkan keraguan besar mengenai masa depannya dengan kelab itu, mendakwa dia sudah mencapai apa yang sepatutnya bersama juara Perancis itu.

Selepas meraih but emas Ligue 1 buat kali kelima berturut-turut, Mbappe seolah-olah menyatakan bukan sebab dirinya mengapa kelab itu tidak berjaya di Eropah, sebelum mengatakan bahawa bermain untuk PSG "tidak membantu" dalam cita-citanya memenangi Ballon d'Or

Kaveh Solhekol mendakwa enam pemain PSG menyuarakan kebimbangan mereka kepada presiden, dengan dua daripada mereka adalah pemain baharu di kelab itu.

Mbappe tidak mahu memperbaharui kontrak baharu bersama kelab itu menyebabkan Al-Khelaifi memberi kata dua kepada penyerang itu dan mengatakan bahawa dia mesti meninggalkan kelab itu musim panas ini jika dia tidak mahu bersama kelab.

Pemain berusia 24 tahun itu baru-baru ini berkata bahawa dia ingin tinggal di Paris untuk tahun terakhir kontraknya, tetapi Al-Khelaifi bertindak balas dengan mengatakan perkara itu tidak akan dibenarkan berlaku.

Presiden PSG itu menjawab dengan berkata: "Kylian mesti membuat keputusan paling lama dalam satu atau dua minggu. Jika dia tidak menandatangani kontrak baharu, kami akan menjualnya. Ia tidak boleh dirunding."

Dengan hanya berbaki 12 bulan dalam kontraknya, PSG keberatan untuk membiarkan Mbappe pergi secara percuma, jadi ingin mendapatkan wang untuk pemenang Piala Dunia Perancis itu sementara mereka masih boleh menerima bayaran.

Bagaimanapun, ESPN mendakwa Mbappe bersikap santai mengenai situasi itu, dan tidak terpengaruh dengan ancaman presiden kelab baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 11:56 AM