MBAPPE menyatakan hasratnya untuk meninggalkan PSG. -FOTO Reuters
MBAPPE menyatakan hasratnya untuk meninggalkan PSG. -FOTO Reuters
AFP

Paris: Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata dia akan "cuba memujuk" Kylian Mbappe kekal di Paris Saint-Germain.

Ditanya oleh peminat muda PSG di luar pameran VivaTech di Paris, Macron berkata dia "tidak tahu" tentang masa depan Mbappe.

"Tetapi saya akan cuba memujuk" kapten Perancis itu kekal di PSG.

Masa depan Mbappe di PSG diragui serius selepas penyerang itu memberitahu AFP dia tidak berhasrat melanjutkan kontraknya bersama kelab itu selepas kontraknya tamat tahun depan.

Mbappe bersama pasukan pengiringnya bercakap sehari selepas dia menghantar surat kepada kelab mengesahkan dia tidak akan mengambil pilihan untuk kekal bersama juara Perancis itu sehingga 2025.

Perkara itu menimbulkan khabar angin mengatakan penyerang berusia 24 tahun yang menjadi salah seorang pemain paling diidamkan dalam bola sepak dunia, berikutan pemergian Lionel Messi dari Parc des Princes musim panas ini akan meninggalkan kelab itu.

Jika PSG milik Qatar tidak menjualnya sekarang, dia boleh pergi secara percuma pada penghujung musim depan.

Sekiranya Macron berbincang dengan Mbappe, ia bukan kali pertama pasangan itu membincangkan masa depannya di kelab Paris itu.

Tahun lalu, Mbappe membuat pendedahan mengejutkan bahawa dia bercakap mengenai potensi perpindahannya ke Real Madrid bersama Macron, berkata dia menghargai "nasihat baik" presiden Perancis itu yang mahu bintang PSG itu kekal di Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 10:35 AM