MBAPPE kini menjalani latihan bersama skuad Perancis menjelang perlawanan Kumpulan B kelayakan Euro 2024 menentang Gibraltar pada 16 Jun dan Greece pada 19 Jun. FOTO AFP
MBAPPE kini menjalani latihan bersama skuad Perancis menjelang perlawanan Kumpulan B kelayakan Euro 2024 menentang Gibraltar pada 16 Jun dan Greece pada 19 Jun. FOTO AFP
AFP

Paris: Masa depan Kylian Mbappe di Paris Saint-Germain sekali lagi menjadi keraguan apabila dia memberitahu tidak akan mengambil pilihan sambungan kontrak setahun selepas tahun depan, bersama juara Perancis itu.

Ia menimbulkan spekulasi penyerang muda itu akan mengikut jejak Lionel Messi yang meninggalkan kelab itu pada musim panas ini.

Penyerang Perancis berusia 24 tahun itu menandatangani kontrak baharu setahun lalu untuk kekal di PSG, sekali gus menolak cubaan Real Madrid mendapatkannya.

Tetapi, kontrak itu akan berakhir pada 2024, kecuali dia membuat keputusan sebelum 31 Julai tahun ini, untuk menyambung kontrak bagi musim ketiga sehingga 2025.

Jika dia tidak menandatanganinya, juara Perancis itu berkemungkinan hilang khidmatnya secara percuma yang bermakna, mereka boleh menjualnya ketika jendela perpindahan kali ini yang akan berakhir pada 1 September depan.

Keputusan Mbappe tidak mahu menyambung kontrak itu diumumkan menerusi surat kepada kelab itu dan kali pertama disiarkan akhbar sukan harian Perancis, L'Equipe, sekali gus memberi tamparan hebat kepada PSG.

Ia berlaku ketika mereka merancang memberikan peranan besar kepada Mbappe selepas membenarkan Messi meninggalkan kelab sebaik kontraknya selama dua tahun berakhir.

Dalam satu kenyataan kepada AFP, Mbappe berkata, dia memaklumkan kepada PSG 'pada 15 Julai 2022' berhubung keputusannya untuk tidak mengaktifkan pilihan bagi menyambung kontraknya, yang akan berakhir hujung musim depan.

Jadi, katanya, surat itu diberikan untuk mengesahkan apa yang sudah dimaklumkan sebelum ini.

"Kylian Mbappe dan pasukannya mengesahkan perkara itu tidak dibincangkan sejak hujung tahun lalu, sehinggalah mereka menghantar surat terbaru itu.

"Tiada kemungkinan penyambungan kontrak disebut."

Pemenang Piala Dunia 2018 itu turut kesal apabila surat berkenaan diedarkan kepada media dan didedahkan kepada umum dengan tujuan menjatuhkan imej mereka dan rundingan dengan kelab itu.

Sudah pasti, Real sekali lagi muncul kelab paling berminat mendapatkannya selepas Karim Benzema menamatkan 14 musim di kelab itu dengan menyertai kelab Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 10:21 PM