AFP

Istanbul: Manchester City adalah pasukan pilihan menjelang perlawanan akhir Liga Juara-Juara awal pagi Ahad menentang Inter Milan di Istanbul ketika pasukan kendalian Pep Guardiola mensasarkan mendapatkan trofi terhebat kelab Eropah dan melengkapkan treble bersejarah.

City mempersiapkan diri ke arah itu sejak pengambilalihan kelab pada 2008 oleh Kumpulan Abu Dhabi United.

Mereka menjadi kuasa dominan England, memenangi tujuh kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam 12 musim terakhir dan selepas kejayaan terbaru merangkul Piala FA hujung minggu lalu.

Kini mereka boleh menandingi pencapaian Manchester United kendalian Alex Ferguson pada 1999 dengan menewaskan Inter di Stadium Olimpik Ataturk dan memperoleh treble.

"Kami masih belum memenanginya lagi," kata Kevin De Bruyne.

"Saya berada di sini lapan tahun dan ia sangat luar biasa. Bolehkah saya datang ke sini dan memikirkan semua jumlah permainan dan trofi yang akan kami menangi dalam lapan tahun?.

"Mungkin tidak. Tetapi ia adalah sesuatu yang kami belum menang dan ia adalah sesuatu yang kami mahu menang. Mudah-mudahan hari Ahad ini."

TROFI yang menjadi rebutan antara City dan Inter. FOTO AFP
TROFI yang menjadi rebutan antara City dan Inter. FOTO AFP

Inter juga tahu pasukan yang mereka bakal hadapi, tidak kurang juga penyerang veteran berusia 37 tahun Edin Dzeko.

Pemain Bosnia itu bermain untuk City antara 2011 dan 2016.

Dia menjaringkan 14 gol musim ini dan menjadi pemain yang sangat gandingan baik bersama bintang Inter, Lautaro Martinez.

Pasukan bimbingan Simone Inzaghi mungkin tidak mempunyai ramai bintang seperti City, tetapi mereka mempunyai barisan pertahanan yang berpengalaman, sayap berbahaya dan bahagian tengah yang bekerja keras seperti Nicolo Barella.

"Kami bercakap mengenai perlawanan bola sepak, tidak ada ketakutan," kata Inzaghi, yang dilantik pada 2021 selepas Nerazzurri memenangi Serie A di bawah Antonio Conte.

Pemain pertahanan, Alessandro Bastoni menambah: "Anda takut kepada pembunuh, bukan pemain bola sepak. Adalah satu kesilapan untuk bercakap mengenai ketakutan."

Inter berada di final pertama mereka sejak memenangi trofi di bawah kendalian Jose Mourinho pada 2010, kemenangan terakhir dalam kejohanan itu buat pasukan Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 11:31 AM