BENZEMA ketika majlis pengenalannya di stadium Al-Ittihad. FOTO AFP
BENZEMA ketika majlis pengenalannya di stadium Al-Ittihad. FOTO AFP
AFP

Jeddah: Bekas penyerang Real Madrid, Karim Benzema, diperkenalkan sebagai pemain Al-Ittihad di depan ribuan peminat di Arab Saudi, sehari selepas negara kaya minyak itu gagal mendapatkan Lionel Messi.

Pertunjukan bunga api yang meriah menyambut kedatangan Benzema yang memakai jersi hitam kuning bernombor sembilan itu.

Sambutan itu berlangsung di stadium Al-Ittihad, Jeddah yang dihadiri 60,000 penonton, di mana abjad besar 'KB9' juga terpampang di stadium itu dengan dilimpahi cahaya terang.

"Assalamualaikum" (Halo), kata Benzema yang berusia 35 tahun kepada penonton, sebelum menjulang Ballon d'Or iaitu trofi yang dimenanginya tahun lalu.

Benzema mengikut jejak langkah pemain bintang Portugal, Cristiano Ronaldo, sebagai antara bintang terbaru yang bermain di Liga Pro Saudi, yang mempunyai senarai sasaran pemain terbaik dunia.

Kehadiran pemain berasal dari Perancis di Jeddah itu adalah antara usaha keras Arab Saudi dalam mendapatkan Messi.

Namun, pemain Argentina dan pemenang Piala Dunia itu memilih bersama Inter Miami sebagai kelab terakhirnya sebelum bersara.

Hal ini juga terjadi setelah LIV Golf yang disokong oleh Arab Saudi berhasil melakukan penggabungan mengejutkan dengan PGA dan DP World selepas lebih dari setahun pertikaian dan perselisihan yang memecah belahkan sukan itu.

Benzema, yang memenangi lima trofi Liga Juara-Juara, empat kali La Liga dan tiga kali Copa del Rey bersama Madrid berharap dia dapat meraih lebih banyak gelaran di Arab Saudi.

"Saya dahagakan kejayaan, saya ingin bermain dan menunjukkan apa yang masih boleh lakukan di padang, terutama untuk membawa kelab ini ke tempat yang sepatutnya, iaitu di puncak," katanya dalam sidang media yang singkat.

Dengan kekayaan minyak berbilion dolar, Arab Saudi melakukan pembelian aset berkaitan sukan sebagai sebahagian daripada rancangan untuk mempelbagaikan ekonominya dan menaikkan pelancongan dan pelaburan.

Negara itu membeli Newcastle United pada 2021 iaitu pada tahun yang sama mereka menjadi tuan rumah Grand Prix Formula Satu buat kali pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 10:27 AM