FAM tunggu laporan sebelum tentukan nasib Elavarasan. -FOTO NSTP
FAM tunggu laporan sebelum tentukan nasib Elavarasan. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Nasib pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara E Elavarasan hanya ditentukan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima laporan bedah siasat membabitkan prestasi pasukan di pentas Sukan Sea Kemboja tempoh hari.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Noor Azman Rahman berkata, pihaknya sudah meminta pengendali berusia 61 tahun itu mengemukakan laporan terperinci dalam tempoh terdekat ini.

Beliau berkata, laporan yang akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan itu turut melihat kepada keperluan untuk melakukan rombakan besar-besaran dalam usaha membentuk skuad lebih mantap dalam menghadapi kelayakan Piala Asia B-23 di Bangkok, Thailand, kelak.

"Sekarang ini, FAM akan menunggu terlebih dahulu laporan daripada barisan kejurulatihan skuad B-23 negara sebelum tindakan susulan diambil dalam memperbaiki kelemahan pasukan itu.

"Perkara itu termasuklah mengenai kedudukan Elavarasan. Saya tidak boleh mengatakan akan ada perubahan membabitkan jawatan itu kerana laporan bedah siasat belum lagi diperoleh," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, skuad B-23 negara gagal memenuhi sasaran untuk layak ke perlawanan akhir Sukan Sea Kemboja selepas terkandas di saingan peringkat kumpulan.

Harimau Muda menamatkan saingan di tempat ketiga dalam Kumpulan B dengan jumlah enam mata daripada empat perlawanan di belakang Thailand dan Vietnam.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat untuk bola sepak Sukan Sea ialah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur iaitu perak manakala kali terakhir meraih emas adalah di Indonesia pada 2011.

Berikutan itu, terdapat desas-desus daripada pihak tertentu yang meminta supaya pengendali pasukan itu ditukar kepada individu lain dalam menghadapi perlawanan atau kejohanan akan datang.

Skuad muda negara bakal berdepan dengan musuh tradisi Thailand pada aksi Kelayakan Piala Asia B-23 dari 6 hingga 12 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 1:14 PM