TOMMY tuntut pemainnya tidak pandang mudah keupayaan Kelantan FC. -FOTO Ghazali Kori
TOMMY tuntut pemainnya tidak pandang mudah keupayaan Kelantan FC. -FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Naib juara Piala FA tahun lalu, Terengganu FC (TFC) tidak sesekali memandang mudah pertembungan 'derby' Pantai Timur menentang Kelantan FC pada aksi suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, petang esok.

Jelas ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner atau lebih mesra dipanggil 'Tommy', walaupun rekod dalam saingan Liga Super pada aksi pusingan pertama musim ini memihak kepada TFC selain skuad The Red Warriors itu kini mengalami masalah dalaman, aksi saingan itu adalah cukup berbeza.

Tambah jurulatih kelahiran Croatia itu, beraksi di sebelah petang dalam cuaca yang dijangka panas juga bakal turut mempengaruhi corak permainan kerana setakat ini pemainnya belum lagi beraksi pada sebelah petang.

Bagaimanapun bekas Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd musim lalu berkata, jika prestasi terkini menjadi ukuran, beliau berkeyakinan TFC mampu mara ke pentas separuh akhir sekali gus mengulangi pencapaian musim lalu.

Tambahnya, kehadiran semula perancangnya, Habib Haroon yang digantung satu perlawanan ketika berdepan Penang FC Rabu lalu pastinya bakal menambah kekuatan jentera tengah pasukan.

"Atas kertas sudah pasti skuad kami dilihat mempunyai kelebihan berbanding lawan, lagipun pada aksi liga pusingan pertama April lalu, kami berjaya menewaskan pasukan itu dengan kemenangan bergaya 5-0.

"Namun pertemuan pada aksi Piala FA ini begitu berbeza, bukan saja saingannya, malah waktunya juga turut mencabar sebab kena bermain sebelah petang yang pasti cuacanya agak panas.

"Jadi saya ingatkan pemain agar berwaspada dengan ancaman pelawat yang pastinya mahu melakar kemenangan terutama selepas baharu mencatat satu kemenangan dalam saingan liga daripada 12 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 11:56 AM