Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Pemain Sabah FC masih leka selepas mendahului lawan ketika berdepan Perak FC di Stadium Likas malam tadi, masalah sama yang dihadapi pasukan itu ketika seri 2-2 dengan Terengganu FC, Jumaat lalu.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, yang mengakui situasi itu, berkata masih banyak kelemahan dalam corak permainan anak buahnya hingga menyebabkan mereka dihukum dengan jaringan balas pasukan lawan.

Katanya, walaupun mengutip tiga mata penting selepas menumpaskan Perak FC 3 - 1, kegagalan anak buahnya mengekalkan corak permainan pada babak kedua menyebabkan Sabah FC berdepan situasi bahaya.

"Bagi kita, mendapatkan tiga mata itu memang yang penting tetapi secara keseluruhan kita tidak bermain seperti mana yang kita lakukan pada separuh masa pertama.

"Selepas menjaringkan tiga gol kita mula leka dan kita akhirnya dihukum. Jadi ini satu perkara yang perlu kita elakkan.

"Mengutip tiga mata memang amat penting tetapi banyak lagi kelemahan yang perlu kita perbaiki," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

 PARK Taesu menjaringkan gol kedua Sabah ketika menentang Perak FC dalam saingan Liga Super 2023 di Stadium Likas malam tadi. -FOTO Mohd Adam Arinin
PARK Taesu menjaringkan gol kedua Sabah ketika menentang Perak FC dalam saingan Liga Super 2023 di Stadium Likas malam tadi. -FOTO Mohd Adam Arinin

Aksi Liga Super di Stadium Likas malam tadi menyaksikan Sabah FC mendahului 3 - 0 pada separuh masa pertama sebelum Perak FC mendapat gol tunggal pada minit ke-82, menjadikan keputusan berubah 3 - 1 pada akhir permainan.

Situasi sama berlaku ketika menentang Terengganu FC Jumaat lalu yang menyaksikan Sabah mendahului 2 - 1 pada separuh masa pertama sebelum terikat 2 - 2 apabila Terengganu berjaya meledak gol penyamaan pada minit kecederaan separuh masa kedua.

Sementara itu, pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim, berkata anak buahnya terlalu hormat dan memberi banyak ruang kepada Sabah FC menyebabkan mereka dibolosi 3 - 0 pada separuh masa pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 1:01 PM