KETUA Pegawai Eksekutif, PSM Faidz Sanusi
KETUA Pegawai Eksekutif, PSM Faidz Sanusi
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan tetap memberi keutamaan kepada perlawanan bola sepak di Stadium Nasional Bukit Jalil terutamanya membabitkan pasukan kebangsaan.

Ketua Pegawai Eksekutif, PSM Faidz Sanusi berkata ketika ini beberapa fasiliti dan kemudahan sedang di naik taraf termasuklah penukaran permukaan padang sistem perparitan dan pengairan baharu bagi memastikan aksi bola sepak dapat berjalan dengan lancar.

Justeru kata pihaknya akan cuba mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi memastikan aksi Harimau Malaya bagi kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia serta penganjuran konsert kumpulan muzik Coldplay di Stadium Nasional Bukit Jalil November ini berjalan dengan baik.

"Seperti yang dikatakan Menteri Hannah Yeoh, kami akan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan masalah tersebut."

"Apa yang saya boleh katakan keutamaan Stadium Nasional Bukit Jalil adalah untuk perlawanan bola sepak. Kalau kita lihat ketika ini PSM sedang menaik taraf serta memperbaiki beberapa fasiliti seperti tandas dan menurunkan pagar-pagar yang menghalang pandangan penonton.

"Selain itu kita juga seperti diketahui sedang giat menjalankan proses penukaran padang untuk memastikan perlawanan bola sepak dapat berjalan dengan lancar yang dijangka siap tidak lama lagi," katanya.

Sebelum ini, peminat bola sepak tanah air melahirkan kerisauan berkenaan penganjuran konsert band popular, Coldplay yang bakal berlangsung 22 November ini apabila dilihat sekali lagi bakal mengganggu jumlah kehadiran peminat Harimau Malaya untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027 jika Harimau Malaya beraksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Perlawanan itu dijangka berlangsung sehari sebelum konsert itu diadakan sekali gus hampir mengulangi peristiwa sama pada separuh akhir Piala AFF Januari lalu apabila 21,000 tempat duduk tidak digunakan disebabkan persiapan untuk konsert Jay Chou juga dijalankan di venue sama.

Bagaimanapun Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin tidak akan membenarkan konsert Coldplay yang bakal berlangsung pada 22 November di Stadium Nasional Bukit Jalil mengganggu perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan diadakan sehari sebelum itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 2:13 PM