KONSERT Coldplay bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Agensi
KONSERT Coldplay bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Agensi
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Konsert band popular, Coldplay yang bakal berlangsung 22 November ini dilihat sekali lagi bakal mengganggu jumlah kehadiran peminat Harimau Malaya untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027 jika Harimau Malaya beraksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Perlawanan itu dijangka berlangsung sehari sebelum konsert itu diadakan sekali gus hampir mengulangi peristiwa sama pada separuh akhir Piala AFF Januari lalu apabila hanya 21,000 penonton dibenarkan disebabkan persiapan untuk konsert Jay Chou juga dijalankan di venue sama.

Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, perkara berkenaan sudah dibincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Faidz Sanusi.

"Saya sudah nyatakan perkara ini ia tidak boleh terjadi lagi. Menteri (Hannah) setuju kerana kita sudah maklumkan kontrak kita dengan PSM berkenaan semua kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa)," katanya kepada media ketika ditemui di Majlis Jamuan Raya Aidilfitri FAM-Liga Bolasepak Malaysia (MFL)-Liga Bolasepak Amatur Malaysia (AFL) hari ini.

Ujarnya, jika PSM hendak melakukan sebarang aktiviti mereka perlu memaklumkan kepada FAM terlebih dahulu.

"Kalau tak, buat apa tandatangan kontrak dengan PSM, baik pergi stadium lain. Tetapi kita sudah dapat penyelesaian dengan menteri (Hannah) bahawa kita lihat dahulu undian kelayakan Piala Asia.

"Kita sudah buat beberapa persiapan untuk lihat kalau perlawanan 21 November itu terjadi, main dekat situ. Kita akan cuba buat rayuan semula. Jadi ada beberapa kemungkinan kerana perlawanan di luar kalendar Fifa tetapi persiapan lima, enam hari ssbelum itu mungkin ada sebahagian stadium tidak boleh digunakan. Apa pun kita kena tunggu Julai (undian kelayakan Piala Asia 2027)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 7:37 PM