BARISAN pemain Inter Milan meraikan kejayaan mereka mara ke final Liga Juara-Juara. -FOTO Reuters
BARISAN pemain Inter Milan meraikan kejayaan mereka mara ke final Liga Juara-Juara. -FOTO Reuters
LUKAKU dimasukkan sebagai pemain gantian pada perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara berdepan AC Milan. -FOTO AFP
LUKAKU dimasukkan sebagai pemain gantian pada perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara berdepan AC Milan. -FOTO AFP
AFP

Milan: Inter Milan mara ke final Liga Juara-Juara pertama mereka selepas 13 tahun apabila gol tunggal Lautaro Martinez pada perlawanan itu memberikan mereka kemenangan dengan agregat 3-0 mengatasi AC Milan.

Inter pasti akan menjadi pasukan bukan pilihan apabila berdepan sama ada Real Madrid atau Manchester City di Istanbul pada 10 Jun, tetapi cara mereka beraksi di kedua-dua pusingan perlawanan seluruh Milan itu membuktikan mereka bukanlah calang-calang pasukan untuk ditewaskan.

Detik penting di San Siro bermula apabila pemain Argentina, Martinez bertukar hantaran dengan pemain gantian Romelu Lukaku dan melakukan rembatan dari dalam kotak penalti yang gagal ditepis penjaga gol Milan, Mike Maignan di sudut gawang.

Kapten Inter, Martinez, memuji persembahan pasukannya sepanjang dua perlawanan menentang seteru mereka itu.

"Apa yang penting ialah skuad. Saya merasainya di Piala Dunia (bersama Argentina)," katanya.

"Ia akan menjadi memudahkan jika anda mempunyai pasukan yang bersatu dengan semua orang bergerak ke arah yang sama. Ini bermakna anda boleh bermain perlawanan yang sangat penting ini dengan cara yang terbaik."

"Selepas menang Piala Dunia dan melalui aksi tertinggi buat pemain, saya tahu kami boleh mara ke final, dan kami dapat melakukannya."

Jaringan pemain itu secara jelas menukar terus keputusan perlawanan.

Ketinggalan 2-0 daripada aksi pertama, Milan memberikan tekanan pada babak pertama, diketuai Rafael Leao yang melepaskan sepakan namun tidak menemui sasaran daripada peluang terbaik dimiliki mereka.

Gol Martinez memastikan tempat ke final Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak mereka menang kejohanan kelab terhebat Eropah itu di bawah kendalian Jose Mourinho pada 2010.

"Tutti a Istanbul", lagu dinyanyikan Nerazzurri ketika mereka kini hanya kurang satu perlawanan untuk mencipta gelaran keempat Liga Juara-Juara.

Jurulatih Inter, Simone Inzaghi berkata: "Ia impian menjadi kenyataan. Kami sentiasa percaya kami boleh melakukannya, kami ada perjalanan yang luar biasa (ke final).

"Apa yang menggembirakan saya? Semuanya. Cara bermain, keazaman, tumpuan... mereka sangat bagus."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 7:31 AM