SALAH (tengah) meraikan kejayaan selepas menyempurnakan penalti. FOTO AFP
SALAH (tengah) meraikan kejayaan selepas menyempurnakan penalti. FOTO AFP
Reuters

London: Mohamed Salah menjaringkan gol menerusi sepakan penalti untuk mengekalkan harapan tipis Liverpool layak ke Liga Juara-Juara musim depan apabila mereka meraih kemenangan 1-0 ke atas Fulham di Anfield dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kemenangan itu membolehkan Liverpool mengumpul 59 mata, empat mata di belakang pasukan di tangga keempat Manchester United, yang mempunyai dua perlawanan dalam tangan ke atas Merseysiders, manakala Fulham di tangga ke-10 dengan 45 mata.

Fulham mempunyai peluang pertama apabila Carlos Vinicius memaksa Alisson Becker melakukan penyelamatan dengan rembatan kencang minit ke-14, tetapi kesilapan Issa Diop menyaksikan mereka ketinggalan enam minit sebelum perlawanan berehat.

Enam minit sebelum tamat babak pertama, berlaku perebutan antara Diop dan Nunez dan pengadil pantas memberikan sepakan penalti yang mencetuskan ketidakpuasan pengendali Fulham, Marco Silva.

Silva mengatakan ia penalti yang tidak wajar diberikan dan itu sesuatu yang memalukan.

Salah diberikan kepercayaan untuk mengambil sepakan berkenaan dan berjaya membolosi gawang lawan sekali gus menambah jumlah jaringannya kepada lapan gol dalam perlawanan berturut-turut di laman sendiri.

Kemenangan itu memberikan pasukan tuan rumah sedikit kelegaan, namun walaupun kehadiran tonggak seperti Salah, Nunez dan Luis Diaz, Liverpool nyata bergelut untuk mendapatkan jaringan tepat selepas penjaga gol, Bernd Leno menjalankan tugasnya dengan baik.

Pengendali pasukan, Juergen Klopp dalam pada itu berkata, dia kagum dengan semangat juang dipamerkan anak buahnya dan musim ini adalah berkisarkan untuk membina momentum bagi kempen akan datang.

"(Itu) adalah sangat penting... kami perlu cuba membuat sesuatu yang boleh kami gunakan, sesuatu yang boleh kami bina untuk musim depan. Itulah yang kami lakukan dan saya gembira dengannya," kata Klopp.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 10:28 AM