SALAH menjaringkan gol ketiga Liverpool ketika bertemu Tottenham Hotspur. FOTO AFP
SALAH menjaringkan gol ketiga Liverpool ketika bertemu Tottenham Hotspur. FOTO AFP
Agensi

London: Selepas menewaskan Tottenham 4-3 di Anfield, bermakna Liverpool sudah meraih empat kemenangan berturut-turut buat kali kedua musim ini.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp pastinya akan memburu kemenangan kelima apabila mereka melayan kunjungan Fulham, awal pagi Khamis ini.

Fulham juga tidak kurang hebatnya apabila skuad bimbingan Marco Silva ketika ini menduduki kelompok pertengahan liga namun mereka dijangka berdepan tugas sukar untuk menghalang jentera serangan Liverpool.

"Mereka berada pada momentum terbaik sejak beberapa perlawanan lalu. Mereka meraih keputusan yang bagus dan dapat menjaringkan gol dengan jentera serangan ketika ini berada pada prestasi terbaik,

"Mereka boleh menggantikan barisan penyerang lain namun pada masa sama masih dapat mengekalkan kualiti permainan.

"Semalam (Ahad) adalah contoh terbaik apabila mereka mempunyai peluang merehatkan Diogo Jota dan memasukkan (Luis) Diaz yang sebelum ini berehat panjang kerana kecederaan.

"Dengan Darwin (Nunez) di bangku simpanan, selain mempunyai (Cody) Gakpo dan (Mohamed) Salah, mereka mempunyai banyak penyelesaian di jentera serangan dan sudah meraih empat kemenangan berturut-turut," kata Silva.

Beliau berharap barisan pemainnya dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka apabila menentang Liverpool yang berada di kemuncak prestasi.

"Sudah pasti mereka (Liverpool) mahu mengekalkan momentum. Ia terpulang kepada kami untuk bersedia sepenunya menghadapi cabaran di Anfield," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 8:21 AM