SKUAD kendalian Osmera itu dijadual mengadakan tiga aksi persahabatan di Jakarta pada hujung Mei hingga awal Jun. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
SKUAD kendalian Osmera itu dijadual mengadakan tiga aksi persahabatan di Jakarta pada hujung Mei hingga awal Jun. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad bawah 17 (B-17) tahun negara tidak akan 'berdiam diri' apabila akan terus melakukan kerja rumah khususnya menganalisis kelemahan dan kekuatan pasukan lawan yang akan ditemui dalam Kumpulan A saingan Piala Asia B-17 di Bangkok, Jun ini.

Antara pencabar dalam kumpulan itu adalah pasukan tuan rumah Thailand, Yaman dan Laos.

Pengurus pasukan B-17, Christopher Raj berkata, kejayaan di Qatar dalam siri aksi persahabatan di negara itu perlu dilupakan segera, dengan fokus dan tumpuan kini terarah melakukan persiapan akhir sebelum ke Bangkok.

Katanya, tiga lawan itu juga pastinya turut membuat analisa mengenai permainan 'Harimau Muda' dalam usaha mendapatkan keputusan positif pada kejohanan itu.

"Saya bersama barisan pemain ini sudah dua tahun setengah dan saya kerap ulang alik Kuala Lumpur ke Gambang setiap minggu, sebab itu saya yakin mereka akan melawan hingga penghujung.

"Itu yang mereka tunjukkan semasa di Qatar. Semangat juang mereka sangat hebat. Walaupun bermain dengan pasukan yang fizikal jauh lebih besar, tetapi tetap mencabar setiap bola dan bekerja keras dalam setiap minit.

"Maknanya, mereka akan bermain mati-matian 90 minit untuk mendapatkan kemenangan. Saya tak ragu kemampuan mereka dari segi daya saing, kekuatan dan semangat mereka.

"Tetapi dengan rendah diri, kami juga tahu bahawa 16 pasukan yang datang ke Thailand nanti adalah yang terbaik di Asia. Jadi mereka juga akan berjuang habis-habisan," katanya.

Skuad kendalian Osmera Omaro selepas ini dijadual mengadakan tiga aksi persahabatan di Jakarta pada hujung Mei hingga awal Jun, sebelum menentang Uzbekistan dan Arab Saudi sebagai persiapan terakhir ke Piala Asia.

Skuad negara dijangka akan terbang ke Bangkok pada 12 Jun yang mana mereka akan memulakan aksi Kumpulan A berdepan Yaman pada 15 Jun sebelum menentang Laos (18 Jun) dan Thailand (21 Jun).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 3:54 PM