Izham (kanan) sedia membuat penampilan semula bersama skuad kebangsaan. FOTO Ghazali Kori.
Izham (kanan) sedia membuat penampilan semula bersama skuad kebangsaan. FOTO Ghazali Kori.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penjaga gol Sri Pahang FC, Mohd Izham Tarmizi Roslan menegaskan dia sedia membuat penampilan semula dalam skuad kebangsaan jika khidmatnya diperlukan ketua jurulatih, Kim Pan-gon.

Penjaga gol pinjaman daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) berusia 33 tahun itu menjelaskan, setiap pemain mempunyai impian yang tinggi untuk beraksi skuad Harimau Malaya termasuk dirinya.

Bagaimanapun pemain berpengalaman kelahiran Marang, Terengganu itu menyerahkan kepada barisan kejurulatihan skuad negara menilai dan memilih pemain yang dimahukan untuk tugasan mengawal pintu gol skuad Harimau Malaya.

"Setiap pemain pastinya idam untuk menyarung jersi skuad kebangsaan iaitu pencapaian tertinggi bagi mana-mana pemain, begitu juga saya walaupun sebelum ini sudah merasai nikmat bersama skuad negara.

"Tapi jika dipanggil lagi, saya bersedia untuk menggalas tugasan itu walaupun sedar perlu bersaing hebat dengan penjaga gol lain yang semakin meningkat prestasinya," katanya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan menentang Terengganu FC (TFC) malam tadi yang memihak kepada pasukannya hasil kemenangan 2-1.

Ketika ditanya prestasinya bersama skuad baharunya itu terutama selepas merekod pasukan kedua paling sedikit bolos selepas JDT dengan tujuh gol selain berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Super setakat ini, Izham akui masih perlu banyak belajar.

Pada aksi malam tadi, pemain yang dikesan bakatnya dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) pada 2002 ketika mewakili pasukan Bawah 12 Tahun Terengganu, beraksi cemerlang dengan menggagalkan banyak percubaan bahaya tuan rumah terutama menerusi penyerang import, Ivan Mamut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 1:17 PM