HABIB (kiri) tekad memastikan TFC mempertahankan rekod tanpa kalah di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
HABIB (kiri) tekad memastikan TFC mempertahankan rekod tanpa kalah di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Ini rumah kami, kami tidak akan sesekali menerima kekalahan, apatah lagi mahu mempertahankan rekod tanpa kalah di stadium kami," kata Habib Haroon.

Kapten Terengganu FC (TFC) itu berkata demikian menjelang pertemuan 'derbi' dengan Sri Pahang FC pada aksi ke-10 Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok.

Pertembungan itu dilihat menarik dan dinantikan peminat setia kedua-dua pasukan kerana pemenang bakal memegang gelaran gergasi Pantai Timur yang kini disandang skuad Penyu.

Pada musim lalu, skuad Penyu menyapu bersih dalam saingan liga dengan kemenangan 2-1 pada aksi pusingan pertama dan kedua manakala pada aksi Piala Malaysia, TFC menang dengan agregat 9-3 menumpaskan skuad Tok Gajah itu.

Bagaimanapun jelas 'arkitek' kelahiran Bahrain itu, mereka tidak boleh mendabik dada, sebaliknya perlu berwaspada dengan ancaman skuad kendalian Fandi Ahmad itu yang dilihat berbeza pada musim ini.

"Semua tahu skuad lawan kini tampil dengan wajah berbeza terutama berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas sembilan perlawanan dan kini menghuni tangga ketiga liga.

"Jadi kami harus waspada dan berhati-hati dengan taktikal yang diperagakan skuad itu yang dilihat begitu liat untuk ditewaskan setakat ini.

"Dalam bola sepak macam-macam boleh terjadi, lagipun kami pernah menumpaskan skuad itu sebanyak empat kali pada musim lalu, tambahan pula ini 'rumah' kami, kami mahu kekalkan rekod tanpa kalah.

"Kami perlukan sokongan padu daripada peminat setia bagi menyuntik semangat ketika beraksi, lagipun 'pemain ke-12' penting kepada mana-mana pasukan," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 8:51 PM