NOR Hakeem bakal diturunkan berdepan KL City FC malam esok. FOTO Ihsan PDRM FC
NOR Hakeem bakal diturunkan berdepan KL City FC malam esok. FOTO Ihsan PDRM FC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas cemerlang mengekang juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) daripada berpesta gol pada aksi minggu lalu, pengendali skuad PDRM FC, Azzmi Ab Aziz idam tiga mata berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam esok.

Jelas bekas pemain kebangsaan itu, beliau tidak rela kempunan lagi untuk melakar kemenangan keempat selepas sembilan perlawanan terutama melihat peningkatan pasukannya daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.

Bagaimanapun beliau mengingatkan anak buahnya agar dapat 'merantai' pergerakan tiga pemain skuad The City Boys iaitu Kipre Tchetche, Romel Morales dan kapten, Paulo Josue yang disifatkan boleh mengancam kubu skuadnya jika dibiarkan bermaharajalela terutama dalam kawasan penalti.

Pada masa sama pengendali berusia 47 tahun itu juga turut mengharapkan kecemerlangan penjaga gol muda, Nor Hakeem Hamidun agar dapat mengekang asakan rangkaian penyerang tuan rumah yang pastinya mahu melakar kemenangan di tempat sendiri.

"Selepas tumpas tipis 0-1 kepada gergasi Liga Malaysia (Liga M), JDT minggu lalu, misi kami sudah pasti mahu mengutip tiga mata berdepan skuad kendalian Bojan Hodak walaupun kita akui ia bukan tugas mudah.

"Kehadiran semula pemain import, Fadi Awad yang sebelum ini digantung satu perlawanan kerana menerima kad merah pastinya ditagih untuk memperkuatkan jentera tengah walaupun kita kehilangan pemain import kelahiran Myanmar, Kyaw Min Oo, Safiee Ahmad dan penjaga gol, Ramadhan Ab Hamid yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

"Kita harap impian itu tercapai lebih-lebih lagi semua pemain kini berada dalam keadaan bersedia dan positif selepas masing-masing pulang berhari raya Aidilfitri," kata Azzmi yang turut mengharapkan peminat setia skuad Sang Saka Biru dapat membanjiri stadium memberi sokongan kepada pasukannya.

Selepas sembilan perlawanan, skuad yang juga dikenali The Cops kini menghuni di tangga ke-10 liga dengan mengutip 10 mata selepas merakam tiga kemenangan dan sekali seri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 5:10 PM