CEMERLANG belasah Kelantan, pemain Sabah FC diberi cuti raya. FOTO Bernama
CEMERLANG belasah Kelantan, pemain Sabah FC diberi cuti raya. FOTO Bernama
Oleh Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Pemain Sabah FC diberi cuti antara dua hingga tiga hari untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga sebelum meneruskan rutin latihan bagi menghadapi perlawanan Liga Super yang seterusnya.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata pihaknya tidak dapat memberi cuti yang panjang, namun pemain tetap diberi ruang untuk bersama dengan keluarga bagi menyambut Aidilfitri.

"Kita tahu perlawanan (Liga Super) penting tetapi dalam masa sama kita juga harus memikirkan perayaan yang penting bagi pemain.

"Pemain yang beragama Islam saya tahu kita tidak boleh memberi cuti yang agak panjang tetapi kita perlu memberikan ruang kepada mereka bersama keluarga.

"Ini amat penting sebelum mereka kembali selepas dua atau tiga hari cuti Hari Raya," katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Kelantan FC di Stadium Likas yang menyaksikan Sang Badak mengganas 6 - 1, di sini, malam tadi.

Sabah FC dijadual berdepan kunjungan Selangor FC di Stadium Likas dalam saingan Liga Super yang seterusnya pada 27 April ini.

Berikutan itu, Kim Swee berkata tiada cuti panjang untuk pemainnya menyambut Aidilfitri kali ini, memandangkan tempoh perlawanan yang hanya berselang seminggu saja lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 1:07 PM