SABAH cemerlang belasah Kelantan FC. FOTO Bernama
SABAH cemerlang belasah Kelantan FC. FOTO Bernama
Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Sabah FC mahu mengekalkan prestasi tanpa kalah di laman sendiri dan memperbaiki kelemahan apabila bertandang ke tempat lawan dalam aksi Liga Super seterusnya.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata walaupun baru dua kali kalah selain seri sekali di tempat lawan, ia memberi pengajaran kepada pasukannya untuk lebih berhati-hati selepas ini.

Katanya, selepas kekalahan di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC, Sang Badak bangkit semula mempertahankan kubunya di Stadium Likas bermula dengan saingan Piala FA pada Sabtu lalu.

"Bagi saya masih lagi terlalu awal, kalau kita tengok rekod di tempat lawan kita hanya mampu seri dan kalah dua kali jadi kita harus memperbaikinya.

"Ia adalah satu pengajaran yang amat penting apabila kita tewas dua kali di tempat lawan dan selepas itu seri. Namun, kita dapat kembali ke landasan yang cukup baik," kata Kim Swee.

Dalam perlawanan berkenaan, Sabah membelasah Kelantan 6-1, membolehkan skuad Sang Badak memperbaiki kedudukan dalam carta liga ke tangga keempat selepas naik satu anak tangga.

Sementara itu Kelantan FC perlu melakukan pembaharuan bagi menghadapi perlawanan seterusnya dalam saingan Liga Super selepas tewas lagi ketika berdepan Sabah FC malam tadi.

Penolong Ketua Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya, berkata banyak kelemahan dihadapi pasukan termasuk berkaitan kualiti pemain yang dilihat antara punca prestasi hambar The Red Warrior itu.

"Kualiti pemain masih perlu ditingkatkan lagi. Selain itu corak permainan pasukan lawan (pada musim ini) juga banyak membezakan kita.

"Jadi, kita perlu buat pembaharuan untuk pasukan," katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Sabah FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 1:03 PM