AZZMI berharap PDRM FC tidak menjadi mangsa belasahan JDT. FOTO GHAZALI KORI
AZZMI berharap PDRM FC tidak menjadi mangsa belasahan JDT. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali PDRM FC, Azzmi Ab Aziz mengakui pasukannya bakal berdepan ujian paling besar menentang gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta'zim (JDT) di pusingan 16 terbaik Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Namun, bekas 'arkitek' skuad kebangsaan itu tidak mahu anak buahnya menyerah kalah sebelum berjuang walaupun sedar sukar untuk melangkah ke peringkat suku akhir lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang keramat lawan.

Jelas Azzmi, beliau tidak akan menerapkan strategi 'parkir bas' dalam kawasan kubu sendiri selain mengharapkan keajaiban kerana lawan dilihat berada pada tahap prestasi terbaik dan kelas tersendiri.

"Pertemuan dengan JDT pastinya perlawanan sukar untuk mana-mana pasukan, begitu juga kami terutama skuad Harimau Selatan itu semakin mantap di setiap posisi dan kian 'mengganas'.

"JDT kini menghuni di tangga teratas Liga Super selain berada pada prestasi terbaik dengan kemenangan dengan jumlah jaringan begitu besar.

"Namun pemain kami berazam untuk beraksi bermatian-matian dan kekal fokus setiap saat terutama bagi mematahkan serangan lawan, sekali gus bagi mengurangkan jaringan," katanya.

Pengendali berusia 47 tahun itu mengakui lega kerana dapat menurunkan kesebelasan terbaiknya dalam perlawanan itu nanti selepas semua pemain bebas kecederaan dan penggantungan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 9:01 PM