AZZMI enggan ‘parkir bas’ lawan JDT.
AZZMI enggan ‘parkir bas’ lawan JDT.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali PDRM FC, Azzmi Ab Aziz mengakui pasukannya bakal berdepan ujian paling besar menentang gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Namun bekas 'arkitek' skuad kebangsaan itu tidak mahu anak buahnya menyerah kalah sebelum berjuang walaupun sedar sukar untuk melangkah ke peringkat suku akhir lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang keramat lawan.

Jelas Azzmi, beliau juga tidak akan menerapkan strategi 'parkir bas' dalam kawasan kubu sendiri selain mengharapkan keajaiban kerana lawan dilihat berada pada tahap prestasi terbaik dan kelas tersendiri lebih-lebih lagi gah menghuni di tangga teratas Liga Super tanpa sebarang kekalahan selain merakam kemenangan besar menumpaskan lawan.

"Pertemuan dengan JDT pastinya perlawanan begitu sukar untuk mana-mana pasukan begitu juga kami terutama skuad Harimau Selatan itu semakin mantap di setiap posisi dan kian 'mengganas'.

"Justeru kami sedar situasi itu lebih-lebih lagi skuad itu kini menghuni di tangga teratas Liga Super selain berada pada tahap prestasi terbaik dengan merekod semua kemenangan dengan jumlah jaringan begitu besar.

"Namun pemain kami berazam untuk beraksi bermatian-matian dan kekal  fokus setiap saat terutama bagi mematahkan serangan lawan dan mengurangkan jaringan dengan sebaik mungkin.

"Kami juga mengintai peluang untuk melakukan serangan balas, harap strategi kami menjadi walaupun pemain kami turut berdepan dengan 'lautan' peminat fanatik mereka," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, pengendali berusia 47 tahun itu akui lega kerana dapat menurunkan kesebelasan terbaiknya dalam perlawanan itu nanti.

"Semua pemain bebas daripada sebarang kecederaan dan penggantungan kecuali penjaga gol, Ramadhan Ab Hamid yang belum cergas, jadi pemain yang diturunkan nanti perlu buktikan kemampuan masing-masing tanpa rasa gentar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 2:34 PM