PEMAIN PDRM FC, Muhammad Fakhrul Azim Mohd Zulphatah (tengah) diasak pemain Sri Pahang FC, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (kiri) dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium MBPJ Kelana Jaya malam tadi. FOTO Bernama
PEMAIN PDRM FC, Muhammad Fakhrul Azim Mohd Zulphatah (tengah) diasak pemain Sri Pahang FC, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (kiri) dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium MBPJ Kelana Jaya malam tadi. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kekangan tidak dapat menurunkan beberapa tonggak utama akibat kecederaan menyebabkan jentera serangan PDRM FC tumpul sekali gus menyaksikan mereka tewas 1-2 kepada Sri Pahang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.

Pengendali PDRM FC Azzmi Aziz berkata, barisan anak buahnya beraksi dengan baik namun penyudah yang tumpul menyebabkan mereka kempunan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan terbabit.

Walaupun gagal mencatatkan kemenangan, Azzmi berkata, beliau tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang mampu membuktikan mereka bukanlah mudah dibuli oleh pasukan bertaraf gergasi.

"Saya puas hati dengan persembahan anak buah berbanding dengan perlawanan terdahulu dan berharap pertembungan seterusnya mereka akan lebih tajam di hadapan gol.

"Walaupun ketiadaan beberapa tonggak import akibat kecederaan, kita masih mampu beraksi dengan baik dan saya akan gunakan pemain yang ada untuk menampung kekurangan itu.

"Pasukan semakin hari semakin baik dan sangat harmoni. Kita buktikan walaupin bajet kecil namun bukan mudah untuk dibuli," katanya.

Terdahulu, Sri Pahang berjaya menebus kekecewaan Sabtu lalu apabila seri 1-1 menentang Kedah Darul Aman di laman sendiri dengan meraih kemenangan bertemu PDRM FC sekali gus memintas Sabah di tangga keempat dengan kelebihan jaringan selepas berkongsi 13 mata.

Pemain sayap, Muhd Baqiuddin Shamsudin membuka tirai jaringan skuad bimbingan Fandi Ahmad pada minit ke-18 selepas menjaringkan gol pertamanya musim ini sebelum penyerang Kpah Sherman menggandakan kedudukan empat minit kemudian sekali gus meledak gol keempatnya musim ini.

PDRM yang melakar dua kemenangan berturut-turut sebelum ini, bangkit merapatkan defisit jaringan pada separuh masa kedua menerusi tandukan James Okwuosa pada minit ke-76, namun gagal memburu gol penyamaan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 5:35 PM