TUNKU Ismail Sultan Ibrahim. FOTO Bernama
TUNKU Ismail Sultan Ibrahim. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Misi penakluk selama satu dekad kini menjadi azimat dan motivasi membara buat Johor Darul Ta'zim (JDT) buat memastikan kejuaraan ke-10 Liga Super kekal di bumi Johor musim ini.

Semboyan itu ditiupkan oleh pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyeru ribuan penyokong skuad Harimau Selatan turun beramai-ramai ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bagi aksi getir berdepan Sabah FC, Jumaat ini.

Meskipun JDT sentiasa menjulang kejuaraan Liga Super setiap tahun bermula 2014 lalu, namun misi itu belum berakhir dengan Tunku Ismail mahu mengukir lebih banyak sejarah baharu termasuk memahat nama sebagai pasukan yang mendominasi selama satu dekad.

"Jumpa di SSI Jumaat ini keluarga JDT ku. Misi belum selesai untuk mencipta sejarah mendominasi satu dekad.

"Perjalanan masih jauh. Demi Johor, demi kelab kami, demi keluarga biru merah putih kami. Kami adalah pencipta sejarah dan peneraju dalam semua aspek.

"Ini adalah satu fakta dan bukan cerita dongeng atau halusinasi. Jumpa hari Jumaat ini. Hidup Johor, muafakat itu berkat Allah peliharakan Sultan," kata Tunku Ismail di laman Story Instagramnya.

Pertembungan dengan Sabah FC dianggap sebagai aksi tumpuan minggu ini di mana kedua-dua pasukan itu menghuni dua tangga teratas Liga Super ketika ini, dengan JDT berkelebihan dua mata di depan dengan 15 mata.

Sabah FC yang dibimbing bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee pula di tangga kedua dengan 13 mata selepas lima aksi.

Kemenangan ke atas lawan bakal mengukuhkan kedudukan JDT di puncak liga, manakala kejayaan membawa pulang tiga mata ke Kota Kinabalu pula menyaksikan skuad The Rhinos berpeluang memintas anak buah Esteban Solari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 11:25 AM