BARISAN pemain Maghribi meraikan kejayaan menewaskan Brazil, Ahad lalu. FOTO AFP
BARISAN pemain Maghribi meraikan kejayaan menewaskan Brazil, Ahad lalu. FOTO AFP
Agensi

Rabat: Selepas kemenangan popular 2-1 Maghribi ke atas juara Piala Dunia lima kali, Brazil, jurulatih pasukan kebangsaan, Walid Regragui, menyatakan kegembiraannya dengan pencapaian terbaru Atlas Lions.

"Kami menewaskan Brazil ketika Ramadan, selepas solat tarawih, ia sungguh gila," kata Regragui ketika mengulas keputusan itu.

Pasukan itu menjadi terkenal di pentas antarabangsa ketika Piala Dunia Qatar 2022 apabila mengalahkan pasukan bertaraf dunia termasuk Sepanyol, Belgium dan Portugal, dan buat pertama kali dalam sejarah, Atlas Lions mara ke separuh akhir Piala Dunia.

Perlawanan Ahad lalu menentang Brazil adalah bukti bahawa Maghribi 'meneruskan momentum Piala Dunia Qatar', kata penyerang, Soufiane Boufal selepas berakhir perlawanan itu.

Boufal menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-29 sekali gus melakar sejarah ia adalah kali pertama Maghribi menjaringkan gol menentang gergasi bola sepak Brazil.

"Kami masih bermimpi! Kami meneruskan momentum kami di Piala Dunia dan ia sangat menggembirakan," kata Boufal.

Maghribi juga menarik perhatian ramai kerana semangat berpasukan mereka terutama video Regragui memberi kata-kata semangat kepada Hakim Ziyech selepas terlepas menjaringkan gol tular di media sosial.

Ziyech mempamerkan aksi hebat ketika menentang barisan pemain terbaik Brazil yang menarik perhatian peminat bola sepak di seluruh dunia serta media antarabangsa.

Prestasinya diraikan oleh kelabnya Chelsea, kerana menonjolkan peranan penting dalam memastikan kemenangan Maghribi ke atas Brazil.

"Jurulatih Maghribi dapat menyatukan semula pemain dan menanamkan kepercayaan serta semangat juang dalam diri mereka, membawa Atlas Lions ke separuh akhir Piala Dunia Qatar 2022 selepas kurang daripada tiga bulan mengambil alih tugas," tulis Fifa.

Sementara itu, Maghribi meraih keputusan seri tanpa jaringan ketika bertemu Peru di Stadium Metropolitano dekat Madrid pada satu lagi perlawanan persahabatan, awal pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 8:51 AM